Sabtu, 12 Disember 2015 | 9:38am

Chelsea bakal mangsa terbaharu The Fox?


PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho. - Foto Reuters

MUNGKIN tiada siapa menyangka, pasukan kerdil, Leicester City akan terus kekal dalam kelompok tiga teratas buat beberapa minggu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Apa lagi, menjadi pendahulu carta liga. Namun itulah yang berlaku sekarang dalam liga paling popular di dunia ini. Selepas berakhirnya aksi ke-15 minggu lalu, pasukan bimbingan Claudio Ranieri itu kini gah di puncak dengan himpunan 32 mata.

Ia mengenepikan calon pilihan seperti Arsenal dengan kelebihan dua mata yang berada di tangga kedua dan masing-masing tiga mata buat Manchester City (ketiga) dan jirannya, United (keempat).

Selepas 15 aksi, persoalan kini timbul, mampukah pasukan yang ditunjangi penjaring terbanyak liga ketika ini, Jamie Vardy untuk terus kekal di kedudukan itu pada minggu ke-16?

Mungkin juga Jose Mourinho mampu memberi jawapannya kerana Chelsea bakal berkunjung ke Stadium King Power pada awal pagi Selasa ini, waktu Malaysia.

Kemenangan ke atas The Blues yang ketika ini menghuni tangga ke-14 liga dan ketinggalan 17 mata di belakang Leicester, sudah pasti akan mengukuhkan kedudukan skuad The Fox sebelum sambutan tahun baharu.

Chelsea yang menewaskan Porto pada saingan Liga Juara-Juara untuk mara ke saingan kalah mati pada pertengahan minggu, sudah pasti ingin bangkit selepas dikejutkan Bournemouth di laman sendiri minggu lalu.

Namun, Ranieri tetap menyedari aksi menentang penyandang juara itu adalah ujian paling getir buat mereka selepas mengejutkan banyak pesaingnya sebelum ini termasuk mengikat 1-1 United dua minggu lalu.

Saya meramalkan aksi ini bakal sengit, namun keputusan bakal menyebelahi Chelsea.

Dalam pada itu, United yang tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara, dijangka berdepan kesukaran mengutip mata penuh apabila berkunjung Stadium Goldsands untuk bertemu Bournemouth pada awal pagi esok.

Lawannya itu yang mengejutkan barisan Mourinho minggu lalu, dijangka bersemangat tinggi untuk mengejutkan satu lagi pasukan pilihan EPL sekali gus memberi tekanan kepada Louis van Gaal. Penulis meramalkan aksi ini menjadi milik United.

City yang tewas mengejut 2-0 kepada Stoke City minggu lalu, dijangka tiada masalah mengutip mata penuh berdepan pasukan bermasalah, Swansea City di Etihad untuk terus mengejar Leicester.

Liverpool pula yang mara ke saingan seterusnya Liga Europa pagi semalam, juga dijangka tiada masalah menewaskan West Brom di laman sendiri. Jurgen Klopp sudah pasti ada magis untuk melihat The Reds kembali bangkit dari kekecewaan.

Dan akhirnya, satu lagi pencabar utama liga, Arsenal yang turut mara saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, seharusnya menyalahkan diri sendiri jika gagal menjinakkan pasukan tercorot liga, Aston Villa esok. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-16

Norwich City 1 Everton 3

West Ham 1 Stoke City 1

Sunderland 1 Watford 1

Manchester City 4 Swansea City 0

Crystal Palace 1 Southampton 0

Bournemouth 1 Manchester United 3

Aston Villa 0 Arsenal 4

Tottenham 4 Newcastle 1

Liverpool 3 West Brom 0

Leicester City 1 Chelsea 2

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Berita/Sukan BH

Berita Harian X