Jumaat, 11 Disember 2015 | 6:30pm

Melaka United ikat bekas pemain B-21 Montenegro

BEKAS pemain Bawah 21 Tahun (B-21) Montenegro, ILIJA Spasojevic

KUALA LUMPUR: Pasukan Melaka United (MU) mengikat bekas pemain Bawah 21 Tahun (B-21) Montenegro dalam usaha memperkukuhkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Ilija Spasojevic, 28, yang pernah beraksi bersama beberapa kelab Indonesia sebelum ini, mengikat kontrak selama dua tahun dengan Melaka United Soccer Association (MUSA).

Majlis menandatangani kontrak pemain itu diadakan di sebuah hotel, di sini, sebentar tadi dengan MUSA diwakili Presidennya, Datuk Seri Idris Haron.

Antara pencapaian peledak baharu MU ini adalah memenangi Piala Presiden 2015 bersama PERSIB Bandung, selain dipilih sebagai penyerang terbaik.

"Saya pilih Melaka United kerana terpikat dengan pasukan ini meskipun ada beberapa kelab lain turut berminat.

"Sasaran saya bersama pasukan ini adalah untuk membantu menjuarai Liga Perdana musim depan," kata pemain dengan ketinggian 1.87 meter pada majlis berkenaan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan ketua jurulatih MU, Mat Zan Mat Aris.

Sebelum ini, MU sudah pun mengikat pemain pertahanan import Korea Selatan, Shin Jae-pil (Korea) dan perancang, Labinot Harbuzi (Sweden).

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka mengesahkan MU akan mengambil seorang lagi pemain import kelahiran Denmark selepas ini.

MU adalah juara Piala FAM musim 2015.


Berita Harian X