Jumaat, 11 Disember 2015 | 5:52pm

Saham berkaitan Fosun digantung selepas Pengerusi hilang

BEIJING: Semua urus niaga membabitkan syarikat konglomerat terkemuka China, Fosun International Ltd, digantung hari ini berikutan spekulasi membabitkan kehilangan Pengerusinya, Guo Guangchang.

Agensi berita Xinhua melaporkan, urus niaga saham syarikat Shanghai Fosun Pharmaceutical (Group) Co Ltd dan Fosun International Ltd, di Bursa Saham Hong Kong, digantung mulai 9 pagi ini.

Beberapa saham berkaitan syarikat itu termasuk Hainan Mining, Nanjing Iron & Steel Co serta Shanghai Ganglian, turut digantung di bursa Shanghai dan Shenzhen.

Fosun adalah pemegang saham utama bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Mengikut Xinhua, penggantungan urus niaga itu dibuat berikutan penyebaran berita bahawa Guo gagal dikesan dan ramai yang mengaitkan kehilangannya dengan siasatan oleh pihak berkuasa.

Syarikat Fosun adalah antara konglomerat terbesar China dengan barisan portfolionya dalam bidang farmaseutikal, hartanah, ekuiti persendirian, keluli serta perlombongan.

Ia turut memiliki Club Med iaitu perintis konsep percutian serba lengkap dan inklusif dengan lokasi pertama Asia di Malaysia iaitu di pantai Cherating, Pahang yang terletak kira-kira 47 kilometer ke utara Kuantan.

Pada Februari lalu, syarikat Fosun, Gaillon Invest II dan Silverfern Group, memuktamadkan satu urus niaga pengambilalihan Club Mediterranee SA.

Ia sekali gus menamatkan perang bidaan yang bermula pada Mei 2013 dan melibatkan Gaillon, syarikat pelaburan khas digunakan Fosun bagi melaksanakan bidaannya bagi Club Med. - BERNAMA

Berita Harian X