Khamis, 10 Disember 2015 | 4:38pm

UMNO perlu waspada ancaman fitnah - Fathul Bari


EXCO Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO diingatkan mengenai bahaya fitnah yang boleh mendatangkan pelbagai masalah dan mengganggu perjalanan dakwah dan khidmat masyarakat.

EXCO Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata, fitnah jika tidak ditangani akan membawa kepada perselisihan yang menjurus kepada perpecahan.

"Bila berlakunya perpecahan, jika tidak diurus dan ditangani dengan sempurna ia boleh membawa kepada pertumpahan darah...inilah yang berlaku dalam sejarah Islam dahulu," katanya ketika menyokong usul ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Fathul berkata, beliau terpanggil untuk menegur mengenai fitnah walaupun dirinya masih baru dalam kancah politik kerana melihat situasi semasa parti yang sering ditimpa ujian dan fitnah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli UMNO agar menyisat dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

"Bila berlakunya fitnah, rujuk kepada al-Quran dan sunnah. Jika berkaitan dengan ekonomi dan politik, rujuk sumber yang benar. Jangan terlalu cepat berkongsi maklumat tanpa rujukan sahih," katanya.

Berita Harian X