Rabu, 9 Disember 2015 | 7:03pm

Kembali sokong kepimpinan - Shahrizat


DARI kiri, bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO mahu Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali bersama kepimpinan sedia ada parti itu demi menyemarakkan perpaduan Melayu.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata wanita menghormati ketiga-tiga pemimpin berkenaan dan menggesa mereka untuk kembali bersama kepimpinan semasa.

Katanya, tidak perlu bercakaran dan berselisih pendapat sebaliknya kembali ke landasan dan terus menyokong agenda parti.

"Masuklah barisan semula, ...kalau sudah terkeluar barisan, kita istighfar dan kembali semula. Tiada parti lain yang sesuai untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara selain UMNO.

"Wanita UMNO sentiasa berada di belakang kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan menyokong segala keputusannya kerana beliau juga Perdana Menteri. Wanita juga menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Naib Presiden.

"Saya membawa harapan dan hati semua ahli wanita UMNO. Ia ibarat ditelan mati mak diluah mati ayah. Pertelingkahan begini memecahbelahkan parti. Doakan agar semua pemimpin kembali kepada UMNO," katanya dalam ucapan penggulungan sayap itu sebentar tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang ini.

55 dibaca
Berita Harian X