Rabu, 9 Disember 2015 | 12:16am

Kampung Belimbing Dalam ada 7 tanah perkuburan


BARANGKALI sesiapa yang baharu pertama berkunjung ke Kampung Belimbing Dalam di Durian Tunggal, Alor Gajah, akan beranggapan tiada apapun yang unik dan menariknya di situ.

Namun, ternyata kampung berkenaan mempunyai keunikan kerana terdapat tujuh tanah perkuburan menjadikan kampung itu antara kampung mempunyai tanah perkuburan terbanyak di Melaka, mahupun negara ini.

Semua tanah perkuburan yang dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun itu masih digunakan sehingga ke hari ini untuk mengebumikan jenazah penduduk di kampung berkenaan.

Difahamkan, kewujudan tujuh tanah perkuburan dalam sebuah kampung itu adalah kerana sikap nenek moyang penduduk pada masa lalu, yang bermurah hati mewakafkan tanah mereka untuk dijadikan kawasan perkuburan keluarga, selain penduduk kampung yang meninggal dunia.


TANAH perkuburan Taib Amin di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Khairunisah Lokman

TANAH perkuburan Mahat Jaafar di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Khairunisah Lokman

Mengikut cerita penduduk, pada asalnya hanya saudara-mara yang meninggal dunia dikebumikan di tanah yang diwakafkan itu dan lama-kelamaan dibuka ruang kepada sesiapa saja, terutama penduduk setempat.

Tinjauan BH Plus ke kampung itu baru-baru ini mendapati, tujuh tanah perkuburan berkenaan terletak di Jalan Bunga Kenanga, Jalan Bunga Raya, Jalan Bunga Kesidang, Jalan Bunga Kertas dan Masjid Imam Muslim, manakala dua lagi terletak bersebelahan rumah keluarga Allahyarham Mahat Jaafar dan Taib Amin.

Walaupun mempunyai tanah perkuburan yang banyak, aspek kebersihan tidak sesekali diabaikan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Belimbing Dalam, Abu Hashim Ahmad, 78, berkata sikap nenek moyang penduduk di situ yang suka mewakafkan tanah seolah-olah menjadi amalan utama mereka pada zaman dulu.


ABU Hashim Ahmad menceritakan kepada penulis perihal tanah Perkuburan Jalan Bunga Kenanga di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Khairunisah Lokman

TANAH perkuburan di belakang Masjid Imam Muslim. - Foto Khairunisah Lokman

Katanya, antara lokasi tanah perkuburan yang mula dibuka di situ adalah di Masjid Imam Muslim, yang menempatkan jenazah sebuah keluarga di belakang masjid itu.

"Oleh kerana terdapat sebuah parit kecil perlu dibina dan diperbesarkan dari semasa ke semasa, maka penduduk kampung dipanggil untuk melakukan kerja secara bergotong-royong.

"Jadi, apabila individu yang terbabit dengan kerja gotong-royong itu meninggal dunia, mereka akan dikebumikan berhampiran jenazah keluarga berkenaan. Ia sebagai membalas jasa mereka yang bersusah payah menggali dan mendalamkan parit.

"Dari saat itulah bermula tanah perkuburan yang pada asalnya untuk menempatkan saudara-mara terdekat, dibuka ruang kepada sesiapa saja," katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, pada zaman itu juga setiap individu yang meninggal dunia dan selepas jenazah dikebumikan, keluarga mereka perlu menderma sebanyak RM5 ke dalam sebuah tabung khas tanah perkuburan masjid.


INDIVIDU yang menggali parit boleh memilih lokasi kubur yang diingini di tanah perkuburan Masjid Imam Muslim di Kampung Belimbing Dalam. - Foto Khairunisah Lokman

PENDUDUK Kampung Belimbing Dalam, Halijah Md Yatim. - Foto Khairunisah Lokman

"Wang yang terkumpul ini kemudian digunakan untuk membeli peralatan bagi membersih tanah perkuburan seperti racun rumpai dan alat pengepam racun supaya kawasan persekitaran tidak ditumbuhi lalang.

"Ia (wang) juga untuk membeli pagar kawat berduri yang didirikan mengelilingi semua kawasan tanah perkuburan bagi memastikan haiwan liar tidak menceroboh," katanya.

Seorang lagi penduduk, Halijah Md Yatim, 65, berkata pada zaman itu juga kebanyakan jenazah saudara-mara dikebumikan di tanah perkuburan di belakang rumahnya yang terletak di Jalan Bunga Kertas.

"Sebahagian tanah kubur di sini adalah berbatu, namun ia bukan menjadi penghalang untuk penduduk kampung mengebumikan jenazah di tanah wakaf ini.

"Pada awalnya, tidak banyak jenazah umat Islam dikebumikan di sini kerana kerja menggali agak sukar dilakukan. Pernah suatu ketika, penggali kubur terpaksa menggunakan jentera pengorek untuk mengeluarkan batu besar, namun ia bukan menjadi masalah kepada saudara-mara atau penduduk berhampiran mengebumikan jenazah setiap kali ada kematian," katanya.

Berita Harian X