Selasa, 8 Disember 2015 | 6:58pm

Bursa ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah hari ini sejajar dengan bursa serantau susulan kejatuhan harga minyak mentah.

Pada 5 petang, indeks berada pada 1,669.24, turun 2.76 mata selepas mencecah paras tertinggi harian pada 1,672.04.

Peniaga berkata, saham Asia ditutup rendah mencecah paras terendah dalam tempoh tiga minggu hari ini susulan penurunan harga minyak dan kebimbangan berterusan terhadap lebihan bekalan disebabkan kegagalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mencapai persetujuan bagi mengurangkan paras pengeluaran. Pelabur turut bimbang mengenai keadaan pertumbuhan di China dan permintaan yang berkurangan daripada negara itu, pengguna tenaga terbesar dunia, berikutan data terkini menunjukkan import China jatuh untuk bulan ke-13 berturut-turut, katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei 225 Jepun merosot 205.55 mata atau 1.04 peratus kepada 19,492.60, Indeks Komposit Shanghai China jatuh 66.86 mata kepada 3,470.07 manakala Indeks Straits Times Singapura berkurangan 23.27 mata kepada 2,877.65.

Daripada saham wajaran tinggi, Public Bank turun dua sen kepada RM18.32 manakala Maybank, TNB, Petronas Chemicals dan Axiata, masing-masing tidak berubah pada RM8.41, RM13.46, RM6.72 dan RM6.09.

Dalam kalangan saham cergas, Instacom menokok 2.5 sen kepada 30.5 sen, XOX turun setengah sen kepada 20 sen, Genetec susut satu sen kepada 29.5 sen dan 1 Utopia diniagakan tidak berubah pada 4.5 sen.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 423 berbanding 393, manakala 344 kaunter tidak berubah, 602 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.78 bilion saham bernilai RM1.68 bilion daripada 1.79 bilion saham bernilai RM1.74 bilion pada Isnin.

Indeks FBM Emas turun 16.87 mata kepada 11,639.02, Indeks FBMT100 susut 18.53 mata kepada 11,318.55, Indeks FBM Emas Syariah merosot 24.15 mata kepada 12,549.39 dan FBM 70 turun 20.39 mata kepada 12,980.79.

FBM Ace menokok 40.99 mata kepada 6,464.06. Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 17.96 mata kepada 3,260.20, Indeks Perladangan susut 1.14 mata kepada 7,457.31 manakala Indeks Kewangan menokok 2.10 mata kepada 14,151.99.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 992.98 juta unit bernilai RM1.52 bilion daripada 1.08 bilion unit bernilai RM1.60 bilion pada Isnin. Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 633.78 juta saham bernilai RM134.37 juta daripada 609.06 juta saham bernilai RM123.61 juta semalam.

Waran naik kepada 150 juta unit bernilai RM24.92 juta daripada 103.16 juta unit bernilai RM13.47 juta pada Isnin. Barangan pengguna menyumbang 123.68 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (255.36 juta), pembinaan (50 juta), perdagangan dan perkhidmatan (357.86 juta), teknologi (60.46 juta), infrastruktur (9.70 juta), SPAC (3.46 juta), kewangan (33.62 juta), hotel (941,800), hartanah (79.53 juta), perladangan (12.27 juta), perlombongan (200), REIT (6.09 juta) dan dana tertutup (5,000).

- BERNAMA

Berita Harian X