Selasa, 8 Disember 2015 | 8:53am

20 tahun Gred Penyelia KEMAS tidak disemak


KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Hassan Mohd Amin (kiri) menyampaikan wang bantuan sara hidup bulanan kepada bekas anggota KEMAS, Mohamad Hassan, 85, di rumahnya di Kampung Ulu Chepor, semalam. Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kenering, Mohd Tarmizi Idris (dua dari kanan). - Foto Muhaizan Yahya

LENGGONG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memohon kerajaan menyemak semula gred jawatan Penyelia dan Penyelia Kanan KEMAS, yang tidak menikmati penyelarasan sejak lebih 20 tahun lalu, hingga mencacatkan struktur organisasi agensi itu.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hassan Mohd Amin, berkata pihaknya sudah membentangkan kertas kerja mengenai perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 22 Oktober lalu, supaya mempertimbangkan cadangan kenaikan gred kedua-dua jawatan berkenaan.

"Semua jawatan kontrak lain dalam KEMAS sudah berubah dan menikmati penyelarasan, seperti guru naik kepada S27, Pembangunan Masyarakat (PM) naik kepada S17 dan Pembantu PM naik kepada S11 tetapi Penyelia masih pada S17 dan Penyelia Kanan masih pada S22 sejak 20 tahun lalu.

"Keadaan ini mengakibatkan berlaku kecacatan struktur kerana PM berada dalam gred sama dengan Penyelia dan Penyelia Pra-Sekolah iaitu S17. Pada masa sama, guru KEMAS pula pada gred S27 iaitu lebih tinggi daripada Penyelia Kanan (S22).

"Ini bermakna kakitangan yang melakukan tugas penyeliaan berada pada gred lebih rendah daripada orang yang diselianya, ini perlu diperbetulkan dan diselaraskan semula," katanya selepas menyerahkan wang bantuan sara hidup bulanan kepada bekas anggota KEMAS di Kampung Chepor dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris; Penolong Pengarah Kanan KEMAS Perak, Mohamad Hussain; Pengerusi Persatuan Bekas Anggota KEMAS Negeri Perak, Mohd Saadin Yusof dan Ketua Kampung Chepor, Tamizi Ghazali.

Hassan berkata, seramai 1,316 Penyelia dan Penyelia Kanan akan terbabit dalam penyelarasan gred itu apabila diluluskan oleh JPA nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, hingga kini ada kira-kira 18,000 kakitangan KEMAS di seluruh negara dengan 17,000 orang daripadanya berstatus kontrak dan 977 orang berjawatan tetap.

Sementara itu, bekas kakitangan KEMAS, Mohamad Hassan, 85, yang sudah berkhidmat lebih 37 tahun sebagai Guru Pemaju Masyarakat Modal Insan KEMAS terpilih antara seramai 3,179 orang untuk menerima sumbangan berjumlah RM3,600 bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka sepanjang bertugas dalam KEMAS.

Mohamad berkata, dia yang berkhidmat dalam KEMAS dari tahun 1961 hingga 1998, bersyukur menerima penghargaan daripada agensi berkenaan.

"Saya dahulu terpaksa menempuh kesukaran untuk pergi mengajar iaitu dari rumah terpaksa menaiki perahu ke Kampung Kelabit, kemudian berbasikal ke Temelong sebelum menaiki bas untuk sampai ke Sauk, tempat saya mengajar.

"Sekarang sudah uzur dan mata pun tidak berapa nampak, tetapi sekiranya ada orang yang mahu belajar datanglah ke rumah, saya masih bersemangat dan sudi mencurah ilmu," katanya.

Berita Harian X