Selasa, 8 Disember 2015 | 12:05am

Keluar asap, bawa mudarat


VAPE mengandungi nikotin yang terkandung dalam cecair sama seperti rokok moden.

ISU berkaitan rokok terutama mengenai pengambilan rokok elektronik begitu hangat diperkatakan.

Pelbagai pandangan dilontarkan oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah mereka yang menghisap rokok tradisional, mereka yang terkesan dengan tabiat merokok, ahli politik dan pegawai perubatan.

Ditambah pula dengan kenaikan harga rokok yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu perokok mencari cara alternatif mengurangkan ketagihan.

Kebanyakan bersetuju penggunaan rokok elektronik (vape) di negara ini perlu dibenarkan dan susulan pelbagai bantahan, pada 30 Oktober lalu kerajaan memutuskan tidak mengharamkan vape.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin dan bahan lain adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ia hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar dan perlu direkodkan.

Berikut disertakan lakaran grafik jenis rokok yang digunakan di negara ini.

Kesan rokok moden

Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan.

Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Kesannya merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini dalam jangka panjang akan menyebabkan gejala kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung.

Racun akibat merokok mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Merokok menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim dalam hati dan boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Vape

Dikenali sebagai rokok elektronik atau Vaporizer (vape). Di negara ini, penggunaan vape semakin mendapat tempat dalam kalangan perokok tegar yang ingin berhenti merokok.

Vape digunakan sebagai alternatif disebabkan kenaikan harga rokok. Vape berfungsi menggunakan bateri, tangki cecair dan modular. Pada peringkat awal, teknologi (rokok elektronik) ini tidak begitu maju dan lama kelamaan, ia direka dalam kawalan digital.

Setelah beberapa ketika, bentuk dan teknologi rokok elektronik berubah serta teknologi menggunakan cip (mod/modular) berkembang.

Teknologi cip dalam modular memudahkan pengguna vape mengawal jumlah watt untuk memanaskan tangki cecair atau dikenali sebagai atomizer.

Berbanding rokok moden yang dikawal kandungan nikotin di dalamnya, vape juga mengandungi nikotin yang terkandung dalam cecair.

Namun, apa yang menjadi masalah adalah tahap kandungan nikotin itu yang tidak dipantau dan ini berdasarkan kepada pembuat cecair vape itu sendiri.

Lebih membimbangkan apabila penjual membancuh sendiri cecair mengikut permintaan pelanggan tanpa mengetahui kandungannya.

Secara puratanya, cecair vape mengandungi kandungan nikotin tiga miligram (mg), enam mg, tujuh mg, sembilan mg, 12 mg hinggalah 24 mg berbanding 1.1 mg sebatang untuk rokok biasa.


ROKOK daun masih banyak digunakan di kawasan kampung dan digemari warga emas.

Rokok daun

- Diperbuat daripada pucuk daun nipah

- Diisi dengan tembakau

- Penghasilannya dibuat secara manual

- Masih banyak digunakan di kawasan kampung dan diamalkan oleh warga emas

Kesan rokok daun

- Meningkatkan risiko penyakit kanser paru-paru. Ini berikutan terdapat dua jenis bahan kimia penyebab kanser iaitu polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) dan tobaccospecific N-nitrosamines (TSNA) yang terkandung dalam tembakau.

- Walaupun lebih murah dan semula jadi, ia tetap memberi kesan yang hampir sama dengan penggunaan rokok moden.

Rokok moden

- Dalam sebatang rokok, secara puratanya mengandungi lebih 3,000 bahan kimia bahaya. Berikut adalah antara bahan kimia yang terdapat dalam rokok:

Nikotin

- Rokok mengandung nikotin yang sangat tinggi. Zat nikotin dalam rokok berasal daripada tembakau. Nikotin boleh mengakibatkan kanser dan merosakkan struktur genetik.

Benzene

- Petrokimia yang dipakai untuk mengeringkan pakaian. Bahkan kandungan benzene adalah karsinogen yang boleh mengakibatkan kanser darah.

Arsenik

- Logam yang boleh meracuni darah dengan mudah. Kemampuan sel untuk memperbaiki diri boleh terganggu dengan kehadiran arsenik.

Tar

- Sifatnya karsinogenik muncul ketika rokok dibakar. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser, penyakit jantung, penyakit berkaitan darah, bronkitis kronik, serta gangguan kehamilan dan janin.

Aseton

- Bahan kimia yang terdapat pada penghilang cat kuku. Bahaya jika zat aseton masuk ke dalam saluran udara dan mendap di paru-paru.

Amonia

- Bau amonia selalunya ada pada produk pencuci tandas. Bahan kimia ini boleh menyebabkan pening.

Karbon Monoksida

- Lima peratus daripada asap rokok adalah karbon monoksida. Karbon monoksida adalah gas beracun yang boleh melekat pada sel darah merah dan mengganggu pengangkutan oksigen dalam darah sehingga menimbulkan kerosakan pada paru-paru serta berpotensi menyebabkan penyakit koroner.

Formaldehida

- Formaldehida adalah bahan kimia yang berfungsi mengawet mayat.

265 dibaca
Berita Harian X