Isnin, 7 Disember 2015 | 5:24pm
GAMBAR hiasan

Pesara maut dirempuh kereta di Kemaman

KEMAMAN: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di simpang empat Jalan Kemasik-Air Jerneh, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Che Abdul Rani Che Ngah, 63, pesara Telekom Malaysia (TM) itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Normansah Din, berkata nahas dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 keluar mengejut dari simpang jalan lalu dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah Air Jerneh, yang tidak sempat mengelak mangsa.

"Mangsa telah tercampak dari motornya dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan kenderaannya remuk.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

- BERNAMA

38 dibaca
Berita Harian X