Isnin, 7 Disember 2015 | 9:11am

United tiada 'mentaliti pembunuh'


PEMAIN Manchester United, Bastian Schweinsteiger (kanan) berasing dengan pemain West Ham, Alex Song pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggers, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

LONDON: Bastian Schweinsteiger merumuskan tiadanya 'mentaliti pembunuh' sebagai punca kegagalan jentera serangan Manchester United berdepan masalah untuk menjaringkan gol.

Pemain tengah Jerman itu percaya The Red Devils tidak boleh mengimpikan sebarang kejuaraan seandainya masalah itu tidak diatasi dengan segera.

"Dalam setiap perlawanan kami mencipta peluang tetapi tidak berjaya menjaringkan gol. Situasi itu membuatkan kami sukar untuk memenangi perlawanan.

"Kami memerlukan gol, jika tidak kamu tidak boleh bercerita mengenai sasaran merangkul trofi kerana kami sepatutnya menang di laman sendiri ketika menentang West Ham United," kata tonggak utama United itu.

Ditanya apakah punca utama kegagalan United menjaringkan gol selepas seri 0-0 buat kali kelima di Old Trafford, Schweinsteiger berkata, ia membabitkan banyak faktor.

"Pertama, kamu perlu mencipta peluang dengan hantaran yang terakhir. Selepas itu, pemain yang mempunyai peluang itu perlu merasakan dia mahu menjaringkan gol dan akan menjaringkan gol, semua perlu disatukan.

"Jika kamu terlepas, kamu perlu berasa tidak gembira. Apabila kamu sebagai penyerang, penyerang utama seperti (Cristiano) Ronaldo, (Lionel) Messi dan Thomas Muller ia adalah mengenai sikap. Mereka mahu menjaringkan gol, mereka ada kualiti dan keinginan mereka untuk menjaringkan gol tinggi.

"Kamu perlu ada sikap yang kamu mahu menjaringkan gol. Pemain kami bukan takut apabila di depan gol, ia sebenarnya mengenai deria sebagai pembunuh. Kami mempunyai pemain yang berkebolehan tetapi kami memerlukannya dalam setiap perlawanan," katanya. - Agensi

Berita Harian X