Isnin, 7 Disember 2015 | 8:23am

Saya lebih rela kami kalah - Jurgen Klopp


Pengurus The Reds, Jurgen Klopp. - Foto AFP

LONDON: Pengurus The Reds, Jurgen Klopp berkata, dirinya terkejut dengan prestasi buruk Liverpool yang tewas 0-2 kepada Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dia lebih rela skuad bimbingannya tewas kerana bermain dengan buruk berbanding situasi mereka sepatutnya berhak untuk menang.

Kekalahan itu kembali melunturkan semangat Liverpool selepas membelasah Southampton 6-1 dalam saingan Piala Liga Inggeris pada aksi pertengahan minggu dan pengendali dari Jerman itu memberikan kredit kepada anak buah Steve McClaren apabila menegaskan Newcastle berhak untuk menang.

"Jika kamu lihat situasi Newcastle dan situasi kami, saya perlu katakan mereka berhak untuk menang, mungkin kami sepatutnya berhak untuk mendapat satu mata.

"Saya tidak lihat kami berhak untuk mendapat tiga mata kerana kami tidak cukup bagus, kami tidak lakukan apa yang sepatutnya," kata Klopp.

Klopp berkata, dia sudah mengenal pasti punca kekalahan itu dan yang paling ketara adalah barisan pemainnya tidak bermain dengan baik.

"Saya perlu melihatnya semula, saya perlu membuat analisis untuk perlawanan ini, jadi saya akan lebih mengetahuinya. Ia kerja yang sukar - itu pasti, tetapi ia tidak sepatutnya sukar seperti ini kerana kami boleh bermain dengan lebih baik. Hampir semuanya tidak menjadi buat kami," katanya.

Ia adalah kekalahan kedua dialami Klopp sejak mula membimbing Liverpool.

Dalam perlawanan itu, tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel menjaringkan gol sendiri pada minit ke-63 sebelum Georginio Wijnaldum melengkapkan kemenangan Newcastle pada masa kecederaan. - Agensi

Berita Harian X