Ahad, 6 Disember 2015 | 7:31pm

United tidak mahu Guardiola


Pep Guardiola

MANCHESTER: Manchester United tidak akan cuba membawa Pep Guardiola ke Old Trafford apabila kontraknya tamat di Bayern Munich pada musim panas depan.

Akhbar Guardian berkata, mengikut sumber di kelab berkenaan, United tidak mahu mendapatkan jurulatih yang mencipta banyak kejayaan dari Catalan itu berikutan masa yang tidak sesuai, selain prestasi yang dilalui pengurus ketika ini, Louis van Gaal.

Difahamkan, individu berpengaruh di Old Trafford sedar Guardiola tidak akan memperbaharui kontraknya di Bayern dan dia memang berminat untuk bekerja dalam bola sepak England, menjadikan Manchester City sebagai antara destinasi pilihan.

Van Gaal, yang menyaksikan keputusan seri buat kali ketiga United dalam semua kejohanan ketika berdepan West Ham United kelmarin, masih memiliki kontrak dengan kelab itu sehingga musim panas 2017.

Jurulatih dari Belanda itu kini berdepan tekanan daripada penyokong dan bekas pemain dengan pendekatan bermain secara selamat dikritik pemain seperti Paul Scholes dan Rio Ferdinand, yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang negatif.

Sementara itu, laporan berbeza oleh BBC mendakwa United akan memantau persembahan Gary Neville sebagai ketua jurulatih Valencia ketika mereka sedang merancang pengganti apabila Van Gaal meletak jawatan.

Pembantu Van Gaal, Ryan Giggs juga dilaporkan mungkin akan diberi tanggungjawab di kerusi panas dekat Old Trafford itu.

Ketika Giggs dan Neville kekurangan pengalaman pada tahap pengurusan, sumber berkata, pengetahuan mereka mengenai kerja dalaman kelab menjadi kelebihan besar. - Agensi

Berita Harian X