Ahad, 6 Disember 2015 | 5:13pm
ANGGOTA penyelamat melakukan operasi mencari Mohd Saufi yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Penunjuk, Kijal. - Foto Rosli Ilham

Penuntut Kolej Ranaco hilang dipukul ombak

CHUKAI: Seorang pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco di sini, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini petang, semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, Mohd Saufi Mukset, 19, dari Kota Tinggi, Johor bersama lima rakan sekelas dikatakan pergi ke pantai berkenaan bagi menghabiskan cuti hujung minggu.

Ketika kejadian, semua mereka adalah pelajar semester dua Jurusan Keselamatan Kesihatan di kolej berkenaan, dikatakan mandi berdekatan sebuah batu besar tidak jauh dari pantai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan untuk naik ke pantai, mereka dipukul ombak besar yang datang secara tiba-tiba sebelum ditarik ke tengah laut.

Mangsa dikatakan tenggelam dan hilang manakala lima rakannya dapat menyelamatkan diri.

Insiden tersebut disedari sekumpulan anak muda yang sedang bermain bola sepak tidak jauh dari tempat kejadian dan mereka bergegas ke pantai untuk menolong pelajar itu.

Seorang saksi, Wan Mohd Haikal Wan Ibrahim, 23, berkata dia sempat menyelamatkan dua pelajar yang hampir lemas itu dengan menarik mereka ke atas sebuah batu sebelum cuba menyelamatkan beberapa lagi pelajar berkenaan.

"Dua kali saya nampak dia (Mohd Saufi) tenggelam timbul dan selepas itu kelibatnya tidak kelihatan. Saya terjun untuk mencarinya tapi oleh kerana arus kuat, saya terpaksa naik awal," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Dan Operasi Bomba Negeri Azmi Omar berkata sejurus menerima panggilan, sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ombak besar dan arus yang kuat menyebabkan operasi hanya dijalankan di sepanjang pesisir pantai berkenaan dan ia disambung semula 7 pagi tadi. - BERNAMA

Berita Harian X