Ahad, 6 Disember 2015 | 12:17am

Pensyarah dapat RM2,000 seminggu bawa Uber


SEORANG pensyarah di sebuah universiti menggunakan masa senggang antara kuliah atau hari cuti menjadikan kereta Honda CRV miliknya sebagai kereta sapu Uber dan meraih sehingga RM2,000 seminggu.

Malah, katanya, berikutan pendapatan memandu Uber begitu menarik, beliau sanggup memohon cuti pada hari yang tiada kuliah semata-mata mahu mencari rezeki tambahan.

Itu antara perkongsian pengalaman pemandu Uber dan Grabcar, yang ditemui wartawan BH sepanjang melakukan penyamaran selama seminggu, untuk mendalami isu di sebalik kegiatan kereta sapu profesional.

Pensyarah berkenaan yang enggan dikenali, berusia dalam lingkungan 30 tahun, berkata beliau sudah dua bulan menjadi pemandu Uber dan melihat potensi pekerjaan sampingan itu besar kerana permintaan terhadap kereta sapu berkenaan begitu tinggi sehinggakan tiada ruang untuknya berhenti rehat.

Katanya, pendapatannya lebih lumayan kerana keretanya sudah dinaik taraf sebagai Uber Black iaitu kategori kereta mewah, yang membolehkannya layak mendapat kadar tambang lebih mahal.

Tak ada masalah nak dapat penumpang. Ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan Uber, tetapi saya perlu lebih berhati-hati.


TINJAUAN kereta sapu Uber di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Kalau rasa ada pelanggan yang mencurigakan, saya elak sebab sekarang SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) kerap buat kacau," katanya.

Salleh (bukan nama sebenar), yang memandu untuk Uber dan Grabcar, pula berkata beliau menggunakan strategi khusus bagi mendapatkan lebih pendapatan.

"Pada waktu puncak yang jalan selalu sesak, saya akan guna Uber sebab Uber caj ikut jarak dan masa. Jika keluar dari Kuala Lumpur dan tidak ada masalah lalu lintas, saya buka aplikasi Grabcar kerana dengan sistem Grabcar, memandu jarak dekat lebih menguntungkan.

"Kena pandai tahu bila masa sesuai guna Uber atau Grabcar dan perlu juga tahu di mana lokasi sesuai kita masuk pada waktu tertentu. Jika semua ini kita faham, senang sangat nak buat duit," katanya yang memandu kereta sapu profesional secara sepenuh masa.

Seorang pemandu lain, Halim (bukan nama sebenar), berkata ketika ini, mereka perlu lebih berhati-hati dengan pemandu teksi kerana ada pemandu kereta sapu sudah diganggu dan hampir dicederakan.

"Ada kereta rakan saya (pemandu Uber) rosak kerana dibaling batu. Sebab itu pemandu Uber dan Grabcar lebih takutkan pemandu teksi daripada SPAD," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta sapu ada cara bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Cara elak pemandu teksi, SPAD


PEGAWAI SPAD menyita kereta yang digunakan sebagai kereta sapu Uber. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Jangan kerap masuk kawasan tertentu terutama sekitar Bandar Sunway". "Selalu tengok nombor pendaftaran penumpang untuk pastikan tidak terperangkap oleh pemandu teksi dan penguat kuasa SPAD".

Itu antara tips yang dikongsi pemandu Uber dan Grabcar dalam beberapa kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk berkongsi maklumat sesama pemandu mengenai dua perkhidmatan itu.

Wartawan BH yang menyamar menjadi pemandu untuk dua perkhidmatan itu dimasukkan dalam beberapa kumpulan WhatsApp, yang turut disertai puluhan pemandu lain.

Antara tips yang dikongsi dalam kumpulan itu ialah bagaimana mahu mengenal pasti kemungkinan penumpang yang bakal menggunakan perkhidmatan itu adalah penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kita boleh cam tempahan kemungkinan dibuat orang SPAD kerana tempahan mereka pelik sikit. Contohnya, mereka suruh kita ambil di Sunway Pyramid tapi mahu dihantar ke Stesen Komuter Batu Tiga. Bukankah itu semua mengarut. Kenapa tidak ke stesen Subang saja, lebih dekat.


PENGGUNA menggunakan aplikasi Uber. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Lagi satu, kalau guna Grabcar, ketika terima tempahan, cuba 'slide' skrin telefon dari atas ke bawah. Tengok nombor ID penumpang. Jika nombornya besar, maksudnya dia penumpang yang kerap guna servis kita. Jika nombornya baharu, hati-hati sebab dia mungkin penguat kuasa yang baru daftar.

"Ketika ambil penumpang, minta dia berlakon seperti kawan kita. Apabila sudah mahu sampai ke destinasi, minta dia bayar awal-awal. Sampai saja ke tempat dituju, dia boleh terus turun dan kita terus saja pandu. Buat macam tak ada transaksi. Macam bawa kawan-kawan," itu antara tips yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp.

Dalam kumpulan WhatsApp sama, pemandu juga dinasihatkan tidak terlalu kerap berlegar dalam kawasan sama dan tidak mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia terlalu berisiko.

Mereka menasihatkan, jika mahu hantar penumpang ke KLIA, tidak menjadi masalah tetapi jangan berhenti berhampiran pemandu teksi dan ketika penumpang turun, salam tangannya atau gunakan ayat seolah-olah baru menghantar seorang kawan rapat seperti - "Jangan lupa hubungi saya nanti ya..."


PEMANDU Ubar dinasihatkan tidak mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia terlalu berisiko. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Situasi sama jika menghantar pelancong kerana ia lebih mencurigakan apabila warga asing menumpang kereta dipandu rakyat tempatan.

Ayat mesra seperti 'take care' dan 'see you again' atau bersalaman sesama mereka adalah taktik untuk mengabui mata penguat kuasa dan pemandu teksi.

Dalam kumpulan WhatsApp itu, jelas pemandu Uber dan Grabcar lebih bimbang dengan ancaman pemandu teksi lain berbanding penguat kuasa kerana dikatakan ada rakan pemandu yang sudah terperangkap dan ada kereta milik mereka dirosakkan, dipercayai oleh pemandu teksi.

Beberapa gambar kereta yang dilanggar dan dirosakkan dikongsi dalam kumpulan WhatsApp itu selain ada berkongsi pengalaman diancam pemandu teksi yang meminta bayaran sehingga RM3,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Berita Harian X