Ahad, 6 Disember 2015 | 12:14am
EZAD Lazim bergambar bersama peserta Konsert Gegar Vaganza 2015 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Faiz Anuar

Ezad Lazim dikritik isteri


SEJARAH hitam dalam lakaran portfolio penyanyi, Ezad Lazim, akan sentiasa tersimpan kemas dalam hidupnya.

Namun, Ezad bangkit dengan semangat baharu kerana enggan terpalit dengan kontroversi lalu yang hampir memusnahkan kerjaya dan perkahwinannya.

Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang kedua oleh isterinya, Nor Azeana Ramli bagi membina semula rumah tangga mereka yang goyah apabila bekas vokalis Exist itu terjebak dengan najis dadah.

Ezad terjebak dengan dadah kerana kecewa dengan diri sendiri dan tidak mendapat peluang membuat persembahan.

Beliau seolah-olah putus asa dengan hidup dan memilih alternatif mudah untuk melepaskan diri daripada realiti.


EZAD Lazim. - Foto Adi Safri

Tapi itu semua cerita lama. Beliau berikrar tidak akan menyentuh lagi najis dadah bagi menghargai peluang kedua yang diberikan oleh isterinya.

"Saya tak mahu lagi mengenang semula sejarah hitam yang hampir merobohkan bahtera perkahwinan saya. Alhamdulillah, isteri saya masih ingin membantu dan memberikan peluang kedua kepada saya untuk bangkit kembali.

"Isteri saya adalah tulang belakang dan pembakar semangat untuk saya berjaya. Usaha dan penat lelah saya kini adalah untuk isteri dan anak-anak," katanya yang menyertai program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) dan masih bertahan sehingga ini.

Ezad bertekad untuk bergelar juara dan lebih manis, isterinya kini berperanan sebagai pengkritik utama. Malah, dalam satu persembahan, Ezad memberitahu juri konsep persembahannya adalah ilham isterinya, yang mahu beliau mencipta kelainan dalam setiap persembahan.


EZAD Lazim bersyukur kerana isteri, Nor Azeana Ramli, memberi peluang kedua kepadanya untuk memperbaiki kehidupan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Kegigihan yang ditonjolkan oleh Nor Azeana menjadi penyokong tegar, mempromosikan suaminya biarpun sedang menjalani proses berpantang berhak mendapat pujian.

Beliau selamat bersalin anak lelaki seberat 2.9 kilogram secara pembedahan pada 5 Oktober lalu, namun menjalankan tanggungjawab meminta orang ramai mengundi suaminya dalam program GV2.

Malah, Nor Azeana juga disahkan menghidap GIST iaitu sejenis ketumbuhan yang biasa terjadi di saluran gastrousus (saluran usus). GIST menjejaskan saluran penghadaman atau struktur yang berhampiran dalam abdomen.

"Persembahan saya merudum pada peringkat pertengahan program GV2 dan saya dikritik hebat oleh isteri saya. Dia meminta saya untuk kembali fokus dan memberikan persembahan dinamik setiap minggu.

"Isteri saya hadir pada minggu suku akhir konsert GV2 setelah tamat tempoh berpantang selama 44 hari. Sokongan padu yang diberikan oleh isteri saya menjadi satu faktor untuk saya memberikan yang terbaik.


EZAD Lazim membuat persembahan pada konsert Gegar Vaganza 2015 minggu ketujuh di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Faiz Anuar

"Saya mendapat komen yang memberangsangkan ketika menyanyikan lagu Nakal yang dipopularkan oleh kumpulan Indonesia, Gigi.

"Gimik persembahan itu dirancang dan dikoreografi oleh isteri saya sendiri yang ingin saya menggunakan pentas sebaik mungkin," kata Ezad yang mengalami pendarahan pada tekak ketika itu.

Nor Azeana yang turut berada di samping Ezad mengiyakan kenyataan yang diberikan oleh suaminya.

Tegas Nor Azeana, beliau membesar dengan personaliti untuk menjadi nombor satu dan sentiasa ingin memberikan yang terbaik, tidak kira dalam apa juga perkara sekali pun.

"Kalau sering memikirkan mengenai sakit, maka kita akan bermain dengan psikologi sendiri. Oleh itu, saya gagahkan diri untuk menyokong suami saya biarpun sedang menjalani proses berpantang.

"Bukan kerja berat pun...saya hanya memuat naik status di laman sosial meminta sokongan orang ramai kepada suami saya saja.

"Saya memang seorang yang tegas dan berterus terang. Oleh itu, saya lantang bersuara sekiranya saya menganggap persembahan yang dibuat oleh Ezad kurang memuaskan pada minggu itu. Kritikan membina itu adalah untuk kebaikan dia juga," katanya.

Berita Harian X