Sabtu, 5 Disember 2015 | 10:25am

Van Gaal ugut tinggalkan MU

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Gambar fail

LONDON: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal memberi amaran beliau akan meninggalkan Old Trafford sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pemainnya.

Van Gaal dikritik hebat musim ini atas taktikal diterapkan kepada pasukan sehingga United gagal menjelmakan aksi menghiburkan seperti era Alex Ferguson.

Penyokong United juga ada menunjukkan rasa kurang senang dan mengejek persembahan hambar pasukan malah apa yang membimbangkan Van Gaal apabila ada laporan mengatakan beberapa pemain tidak gembira dengan cara beliau.

United yang kini berada di tempat ketiga akan menentang West Ham United malam ini ketika turut berdepan kemungkinan tersingkir daripada kancah Liga Juara-Juara.

Ia menjadi tamparan hebat tetapi Van Gaal menegaskan beliau memiliki hubungan baik dengan anak buahnya ketika ini dan tidak apa ragu untuk melepaskan jawatan sekiranya keadan jadi sebaliknya.

"Perkara paling penting adalah persefahaman antara pemain dan kakitangan pasukan," kata Van Gaal. "Dan apabila saya merasakan ada hubungan baik antara kami, saya akan sentiasa bekerja dan buat yang terbaik."

"Tetapi jika sebaliknya, saya akan jadi jurulatih pertama yang akan berhenti dan saya sudah buktikan ketika bersama bekas kelab sebelum ini.

"Ya sudah pasti. Ini kerana saya sentiasa berikan struktur kelab dan saya fikir struktur itu cukup penting buat pasukan." AFP

Berita Harian X