Sabtu, 5 Disember 2015 | 1:23am

Melaka United bakal dapat khidmat Spasojevic

BEKAS penyerang berbisa Persib Bandung yang beraksi di Liga Indonesia, IIija Spasojevic. - Foto ihsan Sidomi

MELAKA: Bekas penyerang berbisa Persib Bandung yang beraksi di Liga Indonesia, IIija Spasojevic bakal menyertai Melaka United (MU) pada aksi Liga Perdana, musim depan.

Pemain berasal dari Montenegro itu pernah mewakili pasukan Bali Devata pada 2011 dan PSM Makassar (2011-2013), selain Putra Samarinda (2014).

Kehadirannya adalah sebagai pemain import ketiga MU selepas pemain kelahiran Sweden, Labinot Harbuzi dan Shin Jae Pil dari Korea Selatan diikat sebelum ini.

Timbalan Presiden Melaka United (MU) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, sentuhan penyerang berkenaan diharap mampu menjadi taruhan pasukan untuk melangkah sebagai empat pasukan terbaik Liga Perdana sekali gus menepati sasaran dua tangga teratas liga.

Beliau berkata, sentuhan pemain berkenaan sudah diteliti ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris sebelum ini dan peranannya dianggap amat bertepatan sebagai peledak digeruni.

Katanya, Spasojevic dilihat memiliki penyudah yang berkesan di depan pintu gol dan diharap tidak menghampakan pasukan MU pada saingan musim depan.

"MU masih meneliti seorang lagi pemain import bagi melengkapkan kuota empat pemain. Apa yang kami harapkan seorang lagi import yang dikenal pasti itu mampu membentuk gandingan mantap bersama tiga pemain berkenaan.

"MU serius untuk meledak prestasi terbaik musim depan dengan turut mendapat sentuhan pemain tempatan yang pernah bermain di Liga Perdana dan Liga Super," katanya.

Berita Harian X