Jumaat, 4 Disember 2015 | 10:10pm

United hilang dua tonggak

PEMAIN Manchester United, Wayne Rooney dan Marcos Rojo.

LONDON: Manchester United akan turun tanpa kapten, Wayne Rooney dan pertahanan, Marcos Rojo dalam pertembungan Liga Perdana menentang West Ham United, kata pengurus Louis van Gaal, hari ini.

Rooney diketepikan bagi perlawanan di Old Trafford, esok apabila cedera buku lali semasa seri 1-1 menentang Leicester City pada hujung minggu lalu, sementara pertahanan, Rojo mengalami kecederaan bahu pada musim lalu.

"Kecederaan Wayne lebih teruk daripada kami jangkakan dan ia adalah kecederaan serius," kata Van Gaal dalam laman web rasmi kelab itu.

"Apabila kami teruskan, kecederaan itu semakin teruk. Kami perlu memberi dia turun berlatih untuk membolehkan buku lalinya lebih kuat, ia adalah sangat penting.

"Saya tidak boleh cakap (berapa lama dia diketepikan) kerana doktor yang akan putuskan mengenai Wayne. Dia kini sedang menjalani proses pemulihan dengan baik."

Van Gaal juga mengesahkan Rojo mengalami kecederaan bahu semasa sesi latihan dan bersedih dengan kecederaan yang "tidak boleh dielakkan" dan sering menghantui pemain itu.

"Rojo juga tercedera. Ia di bahunya, kecederaan yang sama pada tahun lalu berlaku semasa sesi latihan. Ia sangat tidak bernasib baik untuknya, juga berlaku kepada Luke Shaw , jadi saya juga ada masalah.

"Saya juga memberi pemain rehat selama dua hari pada minggu ini. Saya memberi mereka rehat yang banyak kerana saya rasa ia adalah penting, kerana kini kami mempunyai enam pemain yang cedera." - Reuters

Berita Harian X