Jumaat, 4 Disember 2015 | 6:27pm

United tidak membosankan - Bilic


PENGURUS West Ham United, Slaven Bilic. - Foto Reuters

MANCHESTER: Manchester United berbeza daripada skuad yang mencipta kejayaan di bawah kendalian bos Alex Ferguson, namun mereka bukanlah sebuah pasukan yang membosankan, kata pengurus West Ham United, Slaven Bilic menjelang pertemuan Liga Perdana berdepan skuad kendalian Louis van Gaal itu esok.

United sudah banyak dikritik oleh bekas pemainnya, Paul Scholes dan Rio Ferdinand, yang merasakan kelab itu bermain bola sepak 'tidak bermaya' dan 'membosankan' di bawah Van Gaal.

Bilic menyentuh mengenai rentetan keputusan perlawanan yang baik dilalui United yang menyaksikan mereka mendaki ke tangga ketiga liga dan hanya satu mata di belakang pendahulu Manchester City yang menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan yang berkesan.

"Saya tidak melihat mereka sebagai pasukan yang membosankan - mereka sukar ditewaskan," kata Bilic.

"Anda boleh katakan bahawa United adalah berbeza daripada sebelumnya, terutama di laman sendiri ketika lawan mereka perlu bertahan dengan ramai pemain, sangat teratur dan suka menyerang.

"Jika ini yang dilihat, United tidak boleh bermain secara terus atau rentak yang laju. Kami boleh memanggilnya bola sepak terkawal, kami boleh memanggilnya bola sepak penuh kesabaran tetapi setakat ini ia sangat berkesan kerana mereka kini berada dalam posisi yang bagus dalam liga." - Reuters

Berita Harian X