Selasa, 7 Oktober 2014 | 8:32pm

Pengeluar getah asli dijangka rangka strategi pulih harga

BANGKOK: Walaupun kalangan negara pengeluar getah umumnya setuju harga semasa komoditi berkenaan rendah, mereka masih dalam proses mencari penyelesaiannya.

Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli akan bermesyuarat pada 13 Oktober di Kuala Lumpur, dan antara agendanya ialah kedudukan pasaran getah asli dunia.

Sementara itu, Malaysia juga bercadang untuk mempercepatkan mesyuarat Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang dijadualkan pada 12 Disember ini kepada awal November untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak mengenai kerjasama dalam industri getah.

"Kita semua sangat bimbang mengenai harga getah kerana jatuh ke tahap yang sangat kritikal," kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Setiap malam, saya berdoa kepada Tuhan untuk memberikan saya gambaran bila harga akan naik," kata beliau ketika ditanya bila harga akan pulih.

"Negara pengeluar perlu bersama-sama dan bekerjasama untuk memastikan harga tidak akan jatuh atau mengalami penurunan," kata Uggah, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bermula 5 hingga 7 Oktober bagi membincangkan isu getah.

Uggah menyifatkan perbincangan berhubung isu getah dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Petipong Puengbun Na Ayudhya di sini pada Isnin sebagai berhasil.

Uggah berkata perbincangan adalah mengenai bagaimana Malaysia dan Thailand boleh melaksanakan strategi jangka panjang dan jangka pendek untuk memulihkan harga getah, dan pegawai kedua-dua negara akan berbincang dan membuat beberapa cadangan jangka pendek dan jangka panjang mengenai bagaimana untuk membantu industri getah.

Mengenai isu simpanan stok, beliau berkata terdapat beberapa persoalan mengenai ketepatan perangkaan kerana bagi pengeluar, stok sangat rendah "tetapi ada orang di luar sana yang masih mengatakan stok sangat tinggi."

Cadangan Indonesia untuk tidak menjual di bawah AS$1.50 (RM4.88) sekilogram akan menjadi agenda pada mesyuarat pengeluar getah.

Malaysia menyokong langkah berkenaan, tetapi beberapa isu-isu pelaksanaan perlu diselesaikan, katanya.

"Apabila kita menjadikannya satu dasar, kita mahu ia berkesan. Kita mahu melihat semua pembeli dan penjual menjadikannya formula yang berjaya," katanya.

Beliau berkata tidak seperti harga lantai, apabila harga getah turun dan negara-negara perlu ke pasaran untuk menyokong harga, cadangan ialah bagi satu perjanjian dengan semua pihak menyimpan stok jika harga jatuh bawah AS$1.50 sekilogram.

Pada masa ini, di Malaysia, getah SMR 20 dalam lingkungan RM4.40 hingga RM4.55 sekilogram. - BERNAMA

28 dibaca
Berita Harian X