Jumaat, 4 Disember 2015 | 11:05am

Kes bunuh Sosilawati: Mahkamah Rayuan kekal hukuman mati


TIGA tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, R Matan (kiri), T Thilaiyalagan (dua kiri) dan bekas peguam N Pathmanabhan (kanan) diiringi anggota polis selepas mahkamah memutuskan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mei 2013. - Foto Osman Adnan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam dan tiga pekerja ladang atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak rayuan bekas peguam N Pathmanabhan, 45; pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 23; R Matan, 24; dan R Kathavarayan, 35, dan bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh.

Dalam keputusannya, mahkamah memutuskan bahawa sabitan terhadap semua tertuduh adalah selamat.

Pathmanabhan, 45, dan pekerja ladang Thilaiyalagan, 23; Matan, 24; dan Kathavarayan, 35, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

74 dibaca
Berita Harian X