Selasa, 7 Oktober 2014 | 5:35pm

TERAJU wujudkan RM3.5 bilion impak ekonomi kepada Bumiputera

PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sudah mewujudkan impak ekonomi bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada Bumiputera sejak penubuhannya pada 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif, Husni Salleh, berkata impak itu dijana daripada dana berjumlah kurang RM1 bilion yang diperuntukkan kerajaan kepada TERAJU untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing golongan Bumiputera dalam agenda ekonomi negara.

Katanya, impak lebih tiga kali ganda berbanding jumlah dana yang diperuntukkan itu membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif serta program yang dirangka TERAJU dalam tempoh tiga tahun ini.

"Program serta inisiatif yang dilaksanakan TERAJU menggunakan model yang berimpak tinggi, berkesan dan pantas, diselia bersama dengan agensi lain serta berteraskan kesan gandaan," katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini hari ini.

TERAJU ditubuhkan pada 2 Februari 2011 sebagai sebuah unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras Agenda Bumiputera sebagai sebahagian Pelan Transformasi Negara.

Misi utamanya ialah memastikan golongan Bumiputera diwakili secara seimbang dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, pemilikan syarikat besar serta pelbagai sektor pertumbuhan tinggi ekonomi apabila Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Mengulas lanjut, Husni berkata Dana Mudahcara adalah antara contoh keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan TERAJU sejak awal penubuhannya.

Katanya, dana itu yang diwujudkan sebagai "tipping point" untuk membantu syarikat Bumiputera bersaiz sederhana melaksanakan projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), sudah menarik peluang pelaburan kira-kira RM6 bilion dan membantu mewujudkan kesan gandaan kepada syarikat Bumiputera berskala lebih kecil.

Dana Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) pula menyaksikan sejumlah RM707 juta sudah diagihkan kepada 218 syarikat Bumiputera menerusi kerjasama TERAJU dengan tiga insititusi kewangan tempatan iaitu SME Bank, RHB Islamic Bank serta Malaysian Industrial Development Finance (MIDF).

Inisiatif Dana Halal pula, katanya mewujudkan dana berjumlah RM580 juta menerusi kerjasama TERAJU dengan SME Bank dan Agrobank.

Dalam pada itu, TERAJU juga mengemukakan input kajian serta saranan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) berhubung kedudukan Bumiputera dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang bakal dibentangkan Mei tahun depan.

Berita Harian X