Khamis, 3 Disember 2015 | 12:07am
KAKITANGAN Uber memberi penerangan mengenai aplikasi Grabcar dan Uber. - Foto NSTP

Kereta sapu profesional ancam industri teksi


KEMUNCULAN perkhidmatan 'kereta sapu profesional', Uber dan Grabcar, bukan sahaja menggugat industri teksi, malah tidak mendatangkan hasil kepada kerajaan.

Bukan itu sahaja, operasinya diragui kerana tidak menyatakan secara jelas kaedah perlindungan insurans menyebabkan keselamatan penumpang tidak menjadi keutamaan.

Wartawan BH yang menyamar sebagai pemandu Uber dan Grabcar mendapati dua syarikat itu juga secara agresif mempromosi dan mendaftar pemandu baharu, sekali gus membelakangi undang-undang pengangkutan awam yang memerlukan permit untuk beroperasi.

Dengan hanya mengemukakan salinan kad pengenalan, lesen memandu dan polisi insurans kepada ejen ketika sesi pengambilan di pelbagai lokasi berbeza untuk menjadi pemandu Uber dan Grabcar, wartawan boleh mula mengambil penumpang sejurus pendaftaran selesai.

Status dua syarikat itu diragui kerana Uber menggunakan platform laman web antarabangsa yang mengendalikan pendaftaran di seluruh dunia dan proses pengambilan bukan di premis pejabat tetap.

Malah, proses pengambilan pemandu Grabcar yang berpayung di bawah aplikasi MyTeksi pula lebih mencurigakan kerana dilakukan oleh individu dan kebanyakan sesi pendaftaran diadakan di kedai makan atau lokasi tidak formal.

Taktik Uber yang meminta pemandu tidak mengambil bayaran tunai daripada penumpang, sebaliknya berlagak seperti menumpangkan rakan jelas menunjukkan ia menjalankan perkhidmatan haram kerana mahu mengelak tindakan pihak berkuasa.

Namun, persoalannya, bagaimana Uber dan Grabcar mampu menjana pendapatan sehingga boleh memberikan insentif berlipat ganda kepada pemandunya.


BAKAL pemandu Uber mendengar taklimat mengenai sistem perkhidmatan kereta sapu. - Foto NSTP

Setiap minggu, ada saja insentif baharu yang diwujudkan seperti memandu dalam waktu bonus dan dapatkan kutipan sebanyak RM850 dalam masa seminggu untuk Grabcar akan ditambah RM1,400 sebagai bonus.

Uber dan Grabcar tidak mendatangkan keuntungan kepada kerajaan kerana ia beroperasi secara dalam talian dan pemandunya tidak perlu membayar sebarang permit, seperti yang terpaksa ditanggung pemandu teksi biasa.

Paling merisaukan, bagaimana dengan keselamatan penumpang kerana pemandu hanya dilindungi oleh insurans kenderaan peribadi, bukan insurans khas seperti kenderaan pengangkutan awam lain.

Malah, jika berlaku kemalangan, pemandu diminta memberitahu penumpang itu adalah kawan, bukannya pelanggan.

Berdasarkan maklumat, wartawan BH meninjau ke alamat perniagaan yang didaftarkan di bawah nama Uber, di Menara BRDB, namun penyambut tetamu memberitahu mereka sudah lama tidak beroperasi di situ.


BAKAL pemandu Uber mendaftar di satu lokasi di Glomac. - Foto NSTP

Malah, menurutnya, Uber hanya menyewa untuk tiga bulan dan menjadikan alamat itu untuk urusan telefon dan faks saja tanpa menempatkan staf. Begitu juga Grabcar yang sekadar menumpang di alamat sama dengan MyTeksi.

Ia menimbulkan persoalan mengenai keselamatan penumpang dan pemandu kerana dua syarikat itu hanya didaftarkan sebagai pembangun aplikasi, bukan syarikat pengangkutan.

Ia turut menimbulkan kesukaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kerana ia berlindung di bawah syarikat pembangun aplikasi.

Tinjauan juga mendapati perkhidmatan Uber dan Grabcar makin menjadi pilihan orang ramai dan mula memonopoli industri pengangkutan awam apabila perkhidmatannya terus meningkat.

Dua wartawan BH yang masing-masing menyamar sebagai pemandu Uber serta Grabcar dan pemandu teksi biasa selama dua hari mendapati pendapatan dan permintaan terhadap kereta sapu ini amat jauh berbeza.


LEBIH 50 orang hadir dalam satu sesi pendaftaran menjadi pemandu Uber di Menara Glomac. - Foto NSTP

Wartawan yang memandu kereta sapu mampu mendapat lebih ramai penumpang dan pendapatan pun lumayan dengan hanya menunggu panggilan menerusi aplikasi telefon pintar, berbanding memandu teksi yang terpaksa berlegar-legar mencari penumpang.

Pemandu Uber mendapat RM400, termasuk bonus RM50, manakala Grabcar sebanyak RM350 tanpa bonus kerana tidak mencapai sasaran minimum RM650 kutipan seminggu.

Pemandu teksi pula hanya mampu mendapat RM250 sebelum ditolak sewa RM50 sehari dan minyak walaupun memandu dari pagi hingga lewat malam mencari penumpang di sekitar bandar raya.

Jangan ambil tunai daripada pelanggan, elak dikenakan tindakan SPAD

Pemandu kereta sapu Uber dan Grabcar bertambah setiap hari apabila kedua-duanya semakin agresif merekrut pemandu baharu menggunakan pelbagai modus operandi, termasuk ejen persendirian dan sesi pendaftaran di lokasi berbeza.

Kaedah pendaftaran begitu terbuka dan mudah diakses hanya dengan mendaftar melalui laman web, hadir ke lokasi ditetapkan bersama dokumen dan boleh mula memandu sejurus selesai sesi taklimat.

Dalam proses menjadi pemandu, wartawan BH memulakan semakan dengan melayari laman web dan mengisi beberapa maklumat peribadi, jenis dan nombor pendaftaran kenderaan.

Sejurus kemudian, satu e-mel diterima, yang membolehkan wartawan memilih lokasi mana-mana yang ditetapkan untuk menyerahkan dokumen dan mendapat taklimat mengenai sistem perkhidmatan pemandu Uber.


INSENTIF yang ditawarkan kepada bakal pemandu kereta sapu profesional memang lumayan. - Foto NSTP

Antara lokasi yang disenaraikan ialah Glomac Damansara untuk setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 12 tengah hari hingga 7 petang dan Sabtu pada jam 11 pagi hingga jam 4 petang.

Lokasi lain yang bermula jam 4 petang hingga 9 malam ialah Restoran Zam Zam Puchong (Isnin), KotaKotak Glenmarie (Selasa), Bean Thief Klang (Rabu) dan Cotton Craft Shah Alam (Khamis).

Dengan memilih untuk sesi di Glomac, wartawan hadir bersama semua dokumen, iaitu salinan kad pengenalan, lesen memandu dan polisi insurans.

Dalam satu ruang pejabat dipercayai disewa, ada lebih 40 bakal pemandu Uber sedang menjalani tiga proses, iaitu mendaftar untuk mengikuti sesi petang, menyerahkan dokumen bersama gambar yang dirakam di situ dan mendengar taklimat sistem serta operasi Uber.

Sejurus dokumen diberikan dan gambar dimasukkan ke dalam sistem, satu aplikasi dimuat turun di telefon pintar bagi melayakkan wartawan memulakan perkhidmatan sebagai pemandu Uber dengan semua proses itu hanya mengambil masa kurang 10 minit.

Bagi menambah kefahaman mengenai sistem Uber, satu taklimat ringkas dalam bahasa Inggeris disampaikan, yang antara lain menyentuh mengenai insentif yang boleh diperoleh, kawasan dan masa strategik mendapat lebih ganjaran serta bonus tambahan jika berjaya memperkenalkan rakan baharu.


APLIKASI WhatsApp digunakan untuk menawarkan diri mendaftar sebagai pemandu baharu. - Foto NSTP

"Jangan berhenti di tempat yang ramai pemandu teksi. Suruh penumpang pergi ke tempat lain, depan sikit untuk elak teksi cam kita. Jangan risau, SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) tidak boleh ambil tindakan sebab kita tidak ambil duit daripada pelanggan.

"Jangan ambil tips daripada penumpang sebab takut ada SPAD menyamar. Selagi tidak ada transaksi kewangan dalam kereta, kita tidak salah. Konsep Uber sama macam pemandu tolong hantar penumpang yang 'bos' suruh. Bos kita adalah Uber dan kita semua pemandu saja. Gaji kita, bos bayar," antara jaminan dan panduan yang disampaikan dalam taklimat itu.

Selesai taklimat, satu sesi penerangan bersemuka mengenai kaedah menggunakan aplikasi dijalankan oleh beberapa kakitangan, yang antaranya turut memberi tips tambahan untuk mengelak tindakan SPAD dan pemandu teksi berdaftar.

"Hati-hati dengan pemandu teksi sebab mereka susah nak kawal. SPAD tak ada masalah sebab masih boleh 'kawtim'. Ada masalah, hubungi saja nombor kecemasan," katanya.

Pengguna perkhidmatan teksi sapu profesional ini tidak membayar wang tunai, sebaliknya menggunakan kad kredit atau debit, manakala pemandu dilarang menerima tips daripada pelanggan,

Bonus dan pendapatan RM4,000 seminggu digunakan tarik pemandu sertai Grabcar

Mendaftar sebagai pemandu Grabcar lebih mudah kerana hanya perlu bertemu ejen di mana-mana lokasi ditetapkan dengan membawa dokumen yang diperlukan.

Untuk membuktikan betapa mudahnya proses itu, wartawan menghubungi Sidek (bukan nama sebenar) yang nombornya dihebahkan dalam satu kumpulan WhatsApp untuk mendaftar sebagai pemandu.

Sangat mudah kerana Sidek amat teruja mahu membantu dan menetapkan satu pertemuan di sebuah restoran sekitar Cheras, selain meminta wartawan membawa salinan kad pengenalan, lesen memandu dan polisi insurans.

Sepanjang hari sebelum berjumpa, banyak mesej dihantar oleh Sidek untuk meyakinkan wartawan 'bekerja' dengan Grabcar lebih menguntungkan kerana ada banyak insentif jika tahu kaedah dan tekniknya.

Pada hari dijanjikan, kira-kira jam 3 petang, wartawan menemui Sidek yang memberikan taklimat terperinci mengenai sistem Grabcar, antaranya menggunakan strategi jualan langsung iaitu pemandu berpeluang meraih bonus jika memperkenalkan pemandu baharu.

"Seorang pemandu baharu yang abang bawa, abang akan dapat RM100 bonus. Jika dia pula cari yang lain, dia dapat RM100, abang dapat RM50. Jika ada tambahan pula di ranting bawah, abang dapat lagi RM25. Senang saja nak dapat untung.

Saya sudah banyak hari tak bawa kereta. Sekarang sibuk daftar pemandu baharu saja. Grabcar sudah semakin berkembang. Saya tengok rekod hari itu, sudah ada lebih 7,000 pemandu aktif di Kuala Lumpur," katanya.

Mendengar taklimat Sidek memang mengujakan kerana dia petah memberi keyakinan mengenai keuntungan yang bakal diperoleh.

Antaranya, dia memberitahu ada pemandu pernah mendapat sehingga RM4,000 dalam tempoh seminggu, iaitu kutipan tambang dan insentif.

Semuanya selesai di restoran itu. Dokumen diserahkan serta gambar juga dirakam di situ dan pemanduan boleh dimulakan keesokan hari selepas Sidek memasukkan maklumat pemandu baharu dalam sistem Grabcar.

Dalam satu kumpulan WhatsApp yang disertai wartawan, dilihat ada dua orang menawarkan diri untuk mendaftar pemandu baharu, yang masing-masing menjalankan prosedur mereka di sekitar Cheras dan Gombak.

Operasi Uber dan Grabcar

- Kedua-dua perkhidmatan ini menggunakan pejabat maya;

- Hanya menggunakan aplikasi komputer dan diurus dalam alam siber tanpa perlu pejabat operasi;

- Taktik yang digunakannya juga licik apabila mendaftarkan perniagaan di negara ini di bawah nama Uber Malaysia Sdn Bhd dan Grabcar Sdn Bhd, namun mengklasifikasikan perniagaan aktiviti pemasaran serta khidmat rundingan untuk membangun dan meluaskan aplikasi Uber serta Grabcar di Malaysia.

- Pelayan laman web Grabcar, dipercayai berpusat di Singapura, manakala Uber berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

- Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mendapati Uber yang dimiliki oleh Uber International Holdings, yang berpangkalan di AS, mempunyai enam pengarah aktif dengan dua daripadanya warga negara itu.

- Grabcar pula dimiliki oleh Grabtaxi Holdings Pte Ltd, yang berpusat di Singapura dan melantik tujuh pengarah syarikat yang semuanya rakyat Malaysia.

Ikuti laporan penyamaran wartawan BH memandu Uber, Grabcar dan teksi esok.

Berita Harian X