Rabu, 2 Disember 2015 | 4:35pm

Jenazah Mariani disemadi bersebelahan pusara Saloma


ANAK Allahyarhamah Seniwati Mariani, Melissa Saila (duduk, kiri) menabur bunga ke atas pusara ibunya selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jenazah seniwati Mariani atau Mariam Ismail selamat disemadikan bersebelahan pusara adiknya, Puan Sri Saloma dan adik iparnya, Tan Sri P Ramlee di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini sebelum waktu Zohor.

Jenazah tiba di kawasan perkuburan kira-kira 11 pagi setelah disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Sentul dan dikebumikan pada 12 tengah hari.

Selain anggota keluarga, ramai rakan seperjuangan Allahyarham hadir antaranya Sasterawan Negara, A Samad Said, pengarah filem Datuk Shuhaimi Baba; Presiden Seniman Malaysia, Zed Zaidi, penyanyi era 70-an Hail Amir, Uji Rashid, Dian P Ramlee dan Imuda.

Mariani, 82, menghembuskan nafas terakhir semalam di sisi keluarganya termasuk beberapa orang anaknya yang tiba dari Singapura di kediamannya di Taman Kosmo Jaya, Sentul setelah menderita kanser usus sejak setahun lalu.

Anak keempat Allahyarham, penyanyi dan pelakon Rozita Rohaizad, berkata beliau reda dengan pemergian ibunya walaupun akan sentiasa merinduinya.

"Saya amat bertuah kerana saya pernah berlakon bersama mak seperti filem Sumpahan Puaka dan Dendam Dari Pusara dan beberapa drama bersiri serta pernah menyanyi di atas pentas sehingga Singapura dengan lagu Darah Muda dan Ayam Jantan.

"Pertujukan saya bersama mak ialah sewaktu menyanyi berduet di program Jelajah Amal di Selayang Mall pada raya lepas. Masa tu mak dah sakit, tapi dia masih gagahkan dirinya untuk menyanyi bagi menghiburkan peminat-peminatnya," katanya dengan nada sedih.

Rozita berharap saudara mara dan peminat Allahyarham ibunya mendoakan kesejahteraan ibunya dan bersyukur kerana ibunya disayangi rakan taulan dan peminatnya.

Sementara itu, Presiden Seniman Malaysia, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi berkata pemergian Mariani diibaratkan sebagai negara kehilangan sebutir permata seni yang bernilai dan sukar dicari ganti.

"Jasa Allahyarham sangat besar pada Persatuan Seniman. Di samping dia adalah salah seorang pengasas Seniman, Allahyarham juga adalah salah seorang artis yang bertanggung jawab untuk mendapatkan rumah seniman daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Allahyarham banyak membantu saya dari sudut pandangan, nasihat, bantuan bagaimana untuk membangunkan persatuan dan program seniman dan Allahyarham pernah berpesan agar kami menjaga seniman sebaik-baiknya, jangan berpecah belah dan membantu veteran-veteran yang lain," katanya.

Oleh kerana jasa Allahyarham yang terlalu banyak membantu Seniman, pihaknya berhasrat untuk memberi penghormatan tertinggi kepada Allahyarham.

"Persatuan telah mencalonkan nama Allahyarham bagi menerima pingat Panglima Setia Diraja (PSD) yang bergelar Datuk. InsyaAllah pada bulan Jun tahun hadapan, Allahyarham akan mendapat anugerah itu.

"Namun apakan daya, ia tidak kesampaian kerana Allahyarham tidak sempat menerimanya. Kalau tiada aral melintang, wakilnya boleh menerima bagi pihak Allahyarham," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X