Rabu, 2 Disember 2015 | 3:06pm

TMJ puas hati, sifatkan 2015 musim gemilang JDT


PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan tahun ini menjadi musim paling gemilang buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selepas muncul kelab pertama dari Asia Tenggara menjulang Piala AFC, baginda juga berharap JDT dapat beraksi di Liga Juara-Juara Asia musim depan sambil mensasarkan empat teratas dalam saingan domestik.

"Saya amat berpuas hati dan sangat gembira. Kita telah mencipta sejarah. Ia pencapaian yang hebat bagi sebuah kelab yang setahun jagung.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh penyokong JDT, pemain, staf, penaja dan seluruh warga pengurusan PBNJ. Ianya satu musim yang amat menakjubkan sekali.

"Persaingan untuk musim hadapan tentu amat kompetitif. Kita tidak tetapkan sasaran tinggi, hanya menduduki antara empat teratas liga dan berharap dapat layak ke Liga Juara-Juara Asia," katanya menerusi entri terbaharu pada laman sosial Facebook rasmi pasukan JDT, JOHOR Southern Tigers.

Empat piala menjadi milik Harimau Selatan musim ini, bermula dengan Piala Sumbangsih, Liga Super dan dilengkapkan dengan sejarah baharu bola sepak negara apabila muncul juara Piala AFC.

Pada final Piala AFC 31 Oktober lalu, jaringan tunggal Leandro Velazquez memadai buat JDT untuk dinobatkan selaku juara selepas membenam kelab Tajikistan, Istiklol FC 1-0.

Mengenai Piala Malaysia, Tunku Ismail berkata ia bukan sasaran JDT musim ini.

"Piala Malaysia adalah kejohanan berprestij tetapi ia bukan sasaran kita," katanya.

JDT tewas kepada FELDA United pada peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Berita Harian X