Rabu, 2 Disember 2015 | 12:07am
PENAMPILAN sentiasa menjadi perhatian Amy Search.
AMY ketika Program Legend Mentor. - Foto Munira Ghani
PELBAGAI gaya rambut digayakan Amy Search.

Amy Search belum fikir pencen


PADA usia 57 tahun, Amy Search belum mahu memberikan noktah terhadap perjuangan seninya.

Malam Amy memberitahu, dia tidak pernah terfikir berhenti menyanyi kerana dunia rock adalah jiwanya.

"Saya dilahirkan dengan bakat untuk memperoleh hasil pendapatan diri dan keluarga saya.

"Cerita hidup saya memang begitu, persoalannya kenapa Dia memberi kepada saya? Ini kerana Allah mahu saya mengembalikan semula manfaat yang saya dapat kepada orang lain," katanya.

Menginsafi diri, Amy mengakui Allah cukup adil.

"Saya sedar, jika suatu hari nanti saya tiada, setidaknya di dunia ini saya hanya meninggalkan suara saja," katanya.

Selain kelantangan vokal dan rangkaian lagu malar segar dendangan Amy, ternyata imej dan gaya fesyen sering ditampilkan bintang legenda rock ini.

Selama 35 tahun mengabdikan diri dalam dunia muzik, Amy tidak pernah kalah gaya. Ketika mula menyanyi pada awal 1980-an, Amy tampil dengan rambut panjang kerinting mengerbang, seluar sendat serta memakai kasut jenama Aliph.

Gaya Amy ketika itu pantas menarik perhatian peminat sehingga pengeluar kasut Aliph memperkenalkan koleksi Aliph Search seolah-olah isyarat awal gelaran ikon fesyen wajar diberi kepada penyanyi itu.


PENGELUAR kasut Aliph memperkenalkan koleksi Aliph Search.

Sejak muncul dengan album pertama kumpulan Search, Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985, nama Search terbang tinggi. Selain lagu rock dendangan kumpulan itu, apa saja penampilan Amy di pentas pantas menjadi perhatian ramai.

Menelusuri fasa gaya bintang rock ini, Amy pernah muncul dengan gaya rambut pendek, botak, dreadlock, skin head, bertopi, kopiah mahupun serban mengikut cita rasa dan ilham diri sendiri.

"Menceburi dunia seni, bagi saya seorang selebriti harus peka dengan gaya, penampilan dan sentiasa ke depan. Begitu juga dengan perjalanan hidup kita sebagai manusia, penghujungnya semua orang mahukan sesuatu yang baik.

"Saya tidak pernah ragu dalam memilih pakaian dan sentiasa yakin dengan apa yang saya pakai.

"Saya memilih pakaian mengikut keselesaan dan gaya terkini. Namun, saya harus pastikan penampilan saya sesuai untuk ke sesuatu majlis, konsert atau bersantai," kata Amy kepada BH Plus.


PADA usia 57 tahun, Amy Search belum mahu berhenti menyanyi.

Artis mesti buat kajian

Akui Amy, dalam menentukan gaya, artis perlu selalu membuat rujukan dan pemerhatian di sekeliling.

"Apabila mahu menjadi selebriti, kita harus banyak membuat rujukan dalam apa saja perkara terutama hasil kerja supaya masyarakat suka. Ini termasuklah dalam soal penampilan.

"Selebriti perlu menggembirakan hati masyarakat, bukan semua orang boleh buat perkara itu. Bagi saya, ia sesuatu yang indah.

"Fesyen ada rujukan dan harus mengikut tren terkini. Sama juga dengan muzik, kita kena sentiasa 'refresh'. Kita tidak mahu nampak berada di takuk yang lama jika kita tidak melakukan pembaharuan," katanya.


GAYA rambut panjang kerinting ketika Amy Search mula menceburi bidang seni.

Kumpul saham akhirat

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Amy kelihatan tidak kekok untuk memakai jubah, berserban dan berselipar menghadiri majlis agama.

Sejak menjejaki kaki ke Tanah Haram menunaikan umrah beberapa kali, Amy dilihat semakin mendekati agama. Terbaharu, Amy dilaporkan membuka pusat tahfiz al-Quran iaitu Sekolah Quran & Hadith Al Bayan (ABSQH) di Denai Alam, Shah Alam.

"Saya melihat ia sebagai perjalanan seseorang. Seperti yang saya katakan sebelum ini, penghujungnya semua orang mahukan sesuatu yang baik.

"Bagaimanapun, saya tetap rocker. Allah bagi bakat suara dan apa yang saya minta seikhlas hati dikurniakan segala-galanya. Kini tanggungjawab saya pula untuk memberi semula kepada masyarakat.


IMEJ botak menjadi pilihan Amy Search.

"Apa yang diharapkan bekalan saya di akhirat nanti adalah sekolah tahfiz yang saya tinggalkan dapat meringankan dosa dan mengimbangi pahala dan dosa yang pernah kita lakukan," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X