Selasa, 7 Oktober 2014 | 1:57pm

CIDB mahu bida projek lebuh raya AS$1.45 bilion di India

NEW DELHI: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersedia membida lima projek lebuh raya bernilai AS$1.45 bilion (RM4.72 bilion) di India berasaskan perkongsian awam-swasta (PPP), lapor akhbar The Times of India.

"Ini satu perkara yang dialu-alukan kerana perbelanjaan kerajaan akan berkurangan dengan ketara jika kita melaksanakannya menerusi tender PPP.

"Jika kita menjalankannya dengan tender kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), kita perlu menanggung kos 100 peratus," kata Setiausaha Pengangkutan Jalan India, Vijay Chhibber, lapor akhbar itu.

Beliau juga mengesahkan kerajaan sudah menerima cadangan CIDB.

Chhibber berkata Lembaga Lebuh Raya Kebangsaan India (NHAI) akan bertanggungjawab melaksanakan bidaan bagi dua projek, manakala baki menerusi pelawaan oleh kementeriannya.

NHAI akan membuka bidaan berasaskan konsep bina, kendali dan pindah (BOT) berdasarkan tol bagi Lebuhraya Eastern Peripheral (EPE) dan Ambala-Kaithal.

Kementerian pula akan mempelawa bidaan untuk tiga projek di Punjab, kata akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

EPE adalah cadangan lebuh raya sepanjang 135 kilometer merentasi Delhi di sebelah selatan dan Ambala-Kaithal pula jalan sepanjang 96 kilometer di negeri Haryana. - BERNAMA

Berita Harian X