Selasa, 1 Disember 2015 | 5:39pm

TERAJU sedia RM20j galak PKS teroka pasaran antarabangsa


MENTERI Industri dan Perdagangan Antarabangsa MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama (dua dari kiri), Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan (tiga dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh menunjukkan tanda bagus kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), TERAJU dan SME Bank. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan RM20 juta bagi program Pengeksport Terbaik yang bertujuan menggalakkan penyertaan dan pengembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam pasaran eksport.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata peratusan semasa eksport PKS adalah 18 peratus dan kerajaan mahu ia mencapai 25 peratus dalam jangka panjang.

"Pembabitan syarikat bumiputera dalam pasaran eksport masih rendah dan perlu ditingkatkan, terutama PKS.

"Usaha tersebut akan merangsang dan melahirkan lebih banyak PKS bumiputera berasaskan eksport. Ini adalah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan PKS tempatan dalam pasaran eksport," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pengeksport Terbaik di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh, berkata program itu adalah kerjasama terkini dengan Matrade dan SME Bank untuk membimbing dan mengembangkan PKS bumiputera yang berpotensi dan sedia ada.

Ia akan dicapai melalui aktiviti yang ditingkatkan dan diperkayakan secara menyeluruh dengan tumpuan kepada pengeluaran dan teknikal, kewangan, modal insan, eksport, pemasaran dan kompetensi pematuhan undang-undang.

"Peruntukan RM20 juta berkenaan yang akan diuruskan oleh Matrade dan SME Bank, akan membantu PKS bumiputera membangunkan kapasiti dan keupayaan mereka untuk menjadi lebih kompetitif dalam pasaran global," katanya.

Beliau berkata peruntukan dalam bentuk geran sehingga RM200,000 bagi setiap syarikat yang menyertai membolehkan mereka meneroka peluang di luar negara.

Bagi menyertai program ini, peserta, antara lain, mestilah syarikat sendirian berhad dan sekurang-kurangnya 60 peratus milik bumiputera serta berkecimpung dalam perniagaan minimum selama tiga tahun.

Syarikat itu perlu mencatatkan prestasi kewangan yang baik, berdaftar dengan Matrade dan memiliki Penarafan Daya Saing PKS bagi Pengukuhan (SCORE) yang sah sekurang-kurangnya penarafan dua bintang dan bukan anak syarikat atau entiti milik kerajaan. BERNAMA

Berita Harian X