Selasa, 1 Disember 2015 | 1:01pm

SPR mula kajian urusan persempadanan semula


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan kerja-kerja pentadbiran sebagai persiapan awal untuk memulakan kajian urusan persempadanan semula bahagian-bahagian Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerja-kerja berkenaan membabitkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan bilangan pengundi semasa.

"(Kerja-kerja itu) seterusnya menyediakan draf laporan awal urusan persempadanan sebelum cadangan persempadanan SPR dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Bahagian II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) yang ingin tahu setakat manakah persediaan yang dilakukan SPR bagi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menyentuh mengenai negeri Sarawak, Azalina memaklumkan bahawa kajian telah selesai dilaksanakan apabila laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Ogos lepas.

"Tarikh itu juga diwartakan sebagai tamatnya tempoh urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X