Isnin, 30 November 2015 | 4:29pm

Yus Jambu bakat serba boleh


YUS dan Tauke.

Gelagat dan jenakanya memang mencuit hati, apatah lagi apabila beliau bersama gandingannya, Tauke. Bersama-sama, mereka yang menggelarkan diri sebagai Jambu sememangnya duo lawak yang cukup menjadi.

Bukan sekadar berbakat dalam komedi, sebaliknya Yussry Edoo atau lebih dikenali sebagai Yus turut mempunyai kebolehan dalam seni suara meskipun lagu yang dipersembahkannya berbentuk jenaka.

Bintang komedi yang lahir menerusi program Raja Lawak musim pertama ini cukup disegani rakan artis, apatah lagi dengan sikapnya yang mudah mesra. Biarpun ada kala tutur katanya kedengaran agak kasar, namun sifat dan peribadinya mudah memikat hati.

Justeru, pemergian bintang lawak ini, semalam, pada usia 39 tahun akibat serangan jantung cukup mengejutkan industri seni tanah air.

Kecintaannya kepada dunia komedi bermula selepas menyertai program, Sinaran Pasport Kegemilangan, sekitar 2001 menerusi kumpulan Sanggar Pujangga. Namun, ketika itu nasib tidak menyebelahi insan ini.

Tidak mudah patah semangat, Yus atau panggilan mesranya dalam kalangan rakan rapat, Pak Yus, menyertai pula program Raja Lawak. Percubaannya itu membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara rancangan terbabit.

Bakat lawak dalam dirinya tidak sesekali dipersiakan apabila lelaki ini melebarkan sayap dengan turut menceburkan diri ke bidang lakonan.

Lebih lapan tahun aktif dalam arena seni, beliau menjayakan lebih 20 telefilem, 20 program TV dan drama, 11 filem serta sembilan pementasan teater.

Kredibiliti beliau dalam bidang seni suara turut menarik perhatian ramai apabila berduet bersama Nina dalam lagu Kita Berdua, Boss (duet dengan Cat Farish) dan Angkara (bersama Toi).

Bukan Kerana Nama pula menjadi lagu pilihannya setiap kali membuat persembahan pentas.

Terkesan dengan kehilangan bintang komedi berbakat besar itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan pelawak berkenaan sebagai artis yang mudah memberikan kerjasama.

"Beliau banyak menyumbangkan masa untuk terbabit dalam program persatuan ini. Pemergiannya kehilangan yang sangat besar buat industri, terutama bidang komedi.

"Saya tidak tahu Yus mempunyai penyakit kerana beliau sendiri tidak pernah menunjukkan tanda dirinya sakit. Sikapnya yang suka berseloroh dan berjenaka membuatkan kita tidak nampak beliau mempunyai penyakit," katanya.

Pemergian Yus juga, menurut Freddie, memang cukup mengejutkan dirinya kerana pelawak terbabit sempat menyanyi pada pertandingan akhir Raja Band, semalam.

"Saya dimaklumkan, beliau kelihatan letih ketika membuat persembahan, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi. Bagaimanapun, beliau sempat menyanyikan empat lagu," katanya.

Gerhana nyanyian asal Datuk M Nasir yang diubah liriknya pula menjadi lagu terakhir dendangan Yus pada program anjuran KARYAWAN dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain Apokalips, Bukan Kerana Nama dan Hati Emas.

"Beliau diundang untuk mengadakan persembahan bagi memeriahkan majlis. Saya dimaklumkan mengenai pemergian beliau selepas dua jam acara tamat. Beliau banyak berjasa kepada KARYAWAN dan kami akan sedaya upaya cuba membantu keluarganya nanti," katanya.

Info:

Filem: Hantu Bonceng (2011), Abuya (2011), Apa Celop Toqq (2012), Ngorat (2012), Pe3 (2012), Sepah The Movie (2012), Gangster Celop (2013), KL Zombi (2013), Laga (2014), Hantu Bungkus Ikat Tepi (2015) dan Cicakman 3 (2015)

Teater: Kalut (2008), Sofea (2008), Hiroshima (2008), Sri Mersing (2009 & 2010), Satria Menara Putih (2010), Laksamana Cheng Ho (2010), Lawak SuperHero (2013), Lawak Ke Der 3 (2013) dan Lawak Utagha (2014)

Antara Telefilem/ Drama: Dodol Si Bujang Sepah (2010), Osman Brani (2010), Bawang Besar Bawang Kecil (2011), Jambu Hanyut (2011), Pendekar Durian Lempuk (2012), Lawaking (2007), Tiga Budak Botak (2011), Mata Ayer (2013) dan Pondok Jambu (2012).

Pencapaian: Juara Raja Lawak musim pertama (2007) dan Pelakon Teater Terbaik Kebangsaan (2004).

34 dibaca
Berita Harian X