Isnin, 30 November 2015 | 7:33am

Berani buat keputusan tegas tangani vape

Isu vape belum reda. Masih berbalah kerana ada yang mahu jualan diharamkan atas dasar kesihatan dan ada yang mahu dihalalkan untuk dijadikan sumber pendapatan usahawan serta peniaga.

Masing-masing ada pandangan, tetapi yang berniaga ada kepentingan ekonomi, berbeza dengan mereka yang menentang kerana lebih pentingkan kesihatan serta larangan oleh agama Islam.

Kelmarin, dua mufti dan dua tokoh agama saran kerajaan haramkan penjualan vape kerana menghisap vape haram dalam Islam dan memudaratkan kesihatan. Persatuan pengguna dan beberapa NGO lain juga mahu ia diharamkan akibat bimbang mempengaruhi golongan muda dan pelajar kerana menghisap vape kini menjadi trend. Golongan peniaga dan penghisap pula berjuang supaya penjualan dibenarkan tetapi dikawal. Kerajaan terpaksa membuat keputusan bagi memenuhi kehendak peniaga sehingga terpaksa mengabaikan Akta Racun 1952 yang melarang penjualan nikotin, bahan dalam cecair perisa vape tanpa kebenaran. Ia berikutan keputusan untuk mengkaji dahulu cadangan mengharamkan vape atas rayuan peniaga dan penghisap. Agak mengejutkan juga, apabila ada cadangan mengkaji akta itu untuk membolehkan nikotin dijual secara lebih bebas bagi mengelakkan peniaga vape dikenakan tindakan. Kita juga masih menunggu keputusan jawatan kuasa khas Kementerian Kesihatan yang ditubuhkan untuk melihat aspek penguatkuasaan dan kawalan penggunaan vape.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengakui kerumitan isu ini dan berjanji untuk mencapai titik persamaan dengan pihak yang mengemukakan cadangan. Kepada beliau kita amat berharap keputusannya nanti mesti ada kewajaran dengan mengambil kira pandangan terbanyak dan paling rasional. Jangan pula tunduk kepada tekanan sebelah pihak mahu pun kepentingan pihak tertentu sahaja. Antara yang perlu difikirkan ialah jumlah penghisap vape kini diakui mencecah sejuta, kemudaratan kepada generasi muda dan kesan cecair nikotin yang disahkan tidak ada peranan mengurangkan ketagihan merokok seperti yang didakwa.

Tambahan pula kajian Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat menyatakan laporan Journal Kajian Tembakau dan Nikotin mendapati 250,000 remaja yang tidak merokok kini menagih vape. Selain itu, yang amat dibimbangi ialah laporan dan kajian di negara kita sudah ada bukti cecair perasa nikotin dalam pasaran dikesan mengandungi dadah sintetik. Namun, seperkara lagi yang akan merumitkan ialah pandangan oleh mufti dan golongan agamawan yang mahu penjualan diharamkan atas alasan menghisap vape dilarang dalam Islam. Persoalannya jika jualan vape diharamkan atas dasar itu, maka rokok juga wajar diharamkan penjualannya.

Berita Harian X