Ahad, 29 November 2015 | 6:02pm
PEMAIN tengah Chelsea, Eden Hazard memanaskan badan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Maccabi Tel-Aviv, Rabu lalu. - Foto REUTERS

Hazard belum setaraf Deco, Sneijder - Mourinho

LONDON: Jose Mourinho percaya bintangnya, Eden Hazard perlu terus menunjukkan peningkatan andai ingin menjadi pemain di posisi nombor 10 terbaik kelab itu seperti Deco dan Wesley Sneijder.

Pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2014/15 itu sebelum ini mendedahkan sudah berbincang bersama Mourinho untuk beraksi posisi kegemarannya itu bagi mengembalikan prestasinya dan pasukan.

Sejak diberikan peranan utama di bahagian tengah oleh pengurus Chelsea itu, Hazard tampak bertambah baik yang membantu The Blues mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.

Begitupun, pengurus Chelsea itu mendedahkan dia masih belum yakin peranan di belakang penyerang adalah posisi semula jadi pemain kelahiran Belgium itu malah menjangkakan dia tidak mampu memberi impak yang sama diberikan Sneijder dan Deco sebelum ini.

"Kami mempunyai konsep yang berbeza mengenai nombor 10, saya dan dirinya," kata Mourinho mengenai Hazard. "Bagi saya, nombor 10 memberi banyak makna, dengan bola dan tanpa bola.

"Jadi bagi saya, nombor 10 adalah pemain yang amat istimewa dalam pasukan saya. Ketika kali pertama saya di sini, kami bermain tanpa nombor 10, kami menggunakan dua nombor 8.

"Dengan sistem dua pemain tengah dan 10, saya menuntut lebih banyak daripada nombor 10," kata pengurus kelahiran Portugal itu.

Chelsea ketika ini mengharungi dua kemenangan berturut-turut selepas menang ke atas Norwich dalam kempen EPL, minggu lalu diikuti kejayaan menundukkan Maccabi Tel-Aviv dalam saingan Liga Juara-Juara.

The Blues dijadual menentang kelab tetangga, Tottenham Hotspurs, malam ini.- AGENSI

Berita Harian X