Ahad, 29 November 2015 | 2:55pm

Rumah makmal dadah diserbu, 5 ditahan


HELMI (tengah) menunjukkan dadah dan peralatan memproses yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Kob, Kulim. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Polis menumpaskan satu sindiket dadah apabila menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah di Sungai Kob, Kulim, Khamis lalu.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu membabitkan dua serbuan di Sungai Kob dan Ayaer Hitam Pulau Pinang antara jam 3.40 petang hingga 7 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Helmi Aris, berkata serbuan pertama di Sungai Kob membabitkan penahanan lima suspek berusia antara 26 dan 54 tahun.

"Dalam serbuan itu tiga lelaki warga tempatan dan masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing ditahan, manakala serbuan kedua tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kedah, di sini hari ini.

Helmi berkata, ketika serbuan, semua lima suspek sedang memproses dadah jenis heroin dan kefein dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

Polis turut merampas heroin seberat 5.7 kilogram (kg) dan kafein seberat 9.3kg di dalam makmal berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM130,500.

"Kita turut menyita tiga kenderaan jenis Honda Civic, Ford Ranger dan Proton Wira dengan nilai keseluruhan RM78,000 di rumah berkenaan," katanya.

Berita Harian X