Ahad, 29 November 2015 | 2:33pm

Uggah ketuai misi ke mesyuarat ITRC di Jakarta

gn4id:10822199

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas akan mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) di Jakarta, Indonesia, pada 3 Disember ini.

Beliau akan turut menghadiri mesyuarat menteri-menteri ITRC bersama menteri yang bertanggungjawab bagi industri getah dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV).

Menurut kenyataan kementerian hari ini, kesemua mesyuarat itu didahului Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan pada 30 November sehingga 2 Disember ini.

Thailand, Indonesia dan Malaysia adalah negara ahli ITRC yang diwujudkan pada 12 Disember 2001.

ITRC bermatlamat menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara pengeluar utama getah asli (NR) selain memastikan kestabilan harga komoditi berkenaan.

Negara-negara anggota ITRC itu menyumbang 67.5 peratus daripada jumlah pengeluaran NR dunia.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Peringkat Menteri ITRC di Jakarta kali ini akan menumpukan perkara termasuk memperkukuh kerjasama negara-negara ahli dalam pelaksanaan Skim Pengurusan Bekalan bagi mengimbangi penawaran dan permintaan NR bagi jangka panjang.

Ia akan turut membincangkan kemajuan penubuhan Pasaran Getah Serantau, kerjasama meningkatkan penggunaan NR domestik dan pertukaran maklumat mengenai pembangunan produk-produk baharu serta langkah mengukuhkan harga getah. Para menteri ITRC juga akan mengadakan perbincangan dengan menteri bagi industri getah negara-negara CLMV.

"Ia bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara pengeluar NR di rantau ini," kata kenyataan itu.

ITRC dan negara-negara CLMV secara kolektifnya menyumbang 78 peratus daripada jumlah pengeluaran NR dunia. - BERNAMA

Berita Harian X