Ahad, 29 November 2015 | 11:23am

Suami isteri maut, anak cedera nahas di Rembau

REMBAU: Sepasang suami isteri maut, manakala anak mereka berusia dua tahun cedera apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 14.7 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pasangan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas tersepit dalam kereta berkenaan. Jurucakap bomba berkata, kenderaan mangsa yang terbabas ke bahu jalan terbalik dan pihaknya mengambil masa sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif, berkata anak mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan manakala mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

"Polis masih menyiasat punca serta bagaimana kemalangan itu berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X