Ahad, 29 November 2015 | 10:11am

Mangsa banjir di Perak meningkat 392 orang

MANGSA banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

IPOH: Mangsa banjir di beberapa daerah di Perak meningkat kepada 392 orang daripada 114 keluarga pagi ini berbanding 375 orang semalam, dengan satu pusat pemindahan dibuka di Parit Buntar, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir terbaharu ialah 27 orang daripada 10 keluarga terdiri daripada penduduk Ladang Eow Seng dan Kampung Tersusun Tali Air Lima, ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima.

Yahya berkata mangsa membabitkan kawasan Bagan Serai iaitu Lebai Kadir, Mat Keling, Air Hitam Dua, Simpang Empat dan Simpang Lima menurun kepada 33 orang daripada 13 keluarga berbanding 44 orang semalam yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

"Sementara itu, sejumlah 139 orang daripada 42 keluarga di Batu 38 dan 40, Kampung Beriah, Parit Abu Hassan dan Kampung Ali Kalang di Bagan Serai juga masih berada di pusat pemindahan sama (Sekolah Kebangsaan Bukit Merah)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa banjir di Kampung Permatang Tengah, Parit Air Hitam Tengah kekal kepada 139 orang daripada 33 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.

Katanya, mangsa banjir di Hilir Perak pula sebanyak 54 orang daripada 16 keluarga membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong dan kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

- BERNAMA

Berita Harian X