Ahad, 29 November 2015 | 12:58am

Johor agih 6,500 kad koperasi kepada peserta e-Kasih


KHALED melawat di dalam kedai selepas merasmikan Kedai Harga Patut Muafakat Johor di Kota Masai, Pasir Gudang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri Johor optimis membantu golongan kurang berkemampuan menerusi pemberian kad keahlian Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (IMCOOP) secara percuma kepada 6,500 penerima bagi membolehkan mereka mendapat potongan harga barangan keperluan.

  Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta dan penerima akan dikenal pasti menerusi data e-Kasih.

  Katanya, kad keahlian itu membolehkan pemegangnya memperoleh penjimatan dengan diskaun tiga peratus ketika berbelanja di cawangan Kedai Harga Patut Muafakat Johor.

  "Kedai Harga Patut Muafakat Johor menggunapakai konsep koperasi dengan mengutamakan perkhidmatan untuk masyarakat. Oleh itu, keperluan harian yang dijual ialah pada harga lebih rendah tetapi berkualiti kerana ia bertujuan membantu masyarakat menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

  "Bagi memastikan semua pihak menerima manfaatnya, kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada golongan kurang berkemampuan menerusi pemberian kad keahlian percuma kepada mereka yang layak," katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan cawangan pertama Kedai Harga Patut Muafakat Johor, di Taman Kebayan, Jalan Nenas di sini, semalam.

  Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

  Mohamed Khaled berkata, sebanyak 70 cawangan kedai harga patut akan dibuka menjelang akhir tahun ini dan kerajaan negeri mensasarkan pembukaan 150 premis menjelang 2017 dengan memberi tumpuan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

  "Sebanyak  20 premis kedai harga patut dibuka serentak hari ini (semalam) termasuk di iPark, Kulaijaya, Paloh, Segamat dan beberapa kawasan di Iskandar Malaysia.

  "Kita percaya kewujudan kedai ini dapat mengurangkan kesan kos sara hidup selain menjadi platform pemasaran barangan industri kecil dan sederhana (IKS) di Johor.

  "Jika boleh, kita mahu kedai harga patut ini diperluaskan dan menjadi antara produk kebanggaan Johor yang boleh menyumbang untuk negara," katanya.

  Mohamed Khaled berkata, pembukaan rangkaian kedai yang beroperasi 24 jam itu turut mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Berita Harian X