Sabtu, 28 November 2015 | 6:32pm

Lebih 200,000 PATI diusir tahun ini - Nur Jazlan


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) ketika Operasi bersepadu membanteras PATI (OPS IKRAR) di Bukit Damar, Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Seramai 222,647 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah diusir ke negara masing-masing antara Januari hingga 25 November lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata daripada jumlah itu 78,879 orang adalah dari tahanan depoh dan selebihnya mendaftar untuk Program Serah Diri Sukarela yang juga dikenali sebagai program 3+1 yang akan berakhir 31 Disember ini.

Katanya dalam tempoh sama seramai 53,330 orang Pati, 694 majikan dan 34 ejen sindiket telah ditahan hasil daripada 9,429 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Operasi ini dijalankan hampir setiap hari sejak Januari dan kita boleh nampak peningkatan berbanding tahun lepas dengan hanya 5,452 operasi dijalankan.

"Pati yang ditahan kebanyakannya dari Bangladesh, Indonesia, Filipina dan Myanmar," katanya ketika mengikuti operasi menahan Pati membabitkan 283 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, di sini pada awal pagi ini.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 1.30 pagi di kawasan penempatan haram pekerja asing itu, seramai 1,163 pekerja asing telah diperiksa dan 290 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Mereka terdiri daripada 116 warga Indonesia, Bangladesh (105), Myanmar (22), Vietnam (13), Nepal (3), India (1) dan Pakistan (1).

Turut ditahan 26 wanita warga Indonesia dan tiga wanita Vietnam. BERNAMA

Berita Harian X