Sabtu, 28 November 2015 | 1:33am
ERMAN tercampak selepas dirempuh kenderaan dari arah Jalan Pulau Gadong/Malim menghala ke Klebang, awal pagi semalam. - Foto ihsan pembaca BH

Buruh maut nahas di Melaka

MELAKA: Seorang buruh dari Bukit Palah di sini, maut akibat tercampak kira-kira 10 meter dari motosikal ditunggangnya selepas dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC, Erman Muhamadiah, 53, tercampak selepas dirempuh PERODUA Kenari dipandu seorang pemuda berusia 23, dari arah Jalan Pulau Gadong/Malim menghala ke Klebang.

Susulan perlanggaran yang berlaku, pemandu kereta dari Batu Berendam itu turut terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kereta PROTON Wira yang diparkir di hadapan sebuah rumah serta tiang kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah, berkata mangsa mati akibat mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis menahan kereta yang terbabit dalam nahas itu untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Punca sebenar nahas sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X