Sabtu, 28 November 2015 | 1:32am

Kanak-kanak tersepit kaki pada lif


ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan seorang kanak-kanak selepas kakinya tersepit pada pintu lif.

KAJANG: Seorang kanak-kanak keturunan Arab, terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam selepas kakinya tersepit pada pintu lif yang digunakan di sebuah apartmen dekat Taman Sepakat Indah 2 di sini, malam tadi.

  Kejadian berlaku jam 8 malam itu, ketika budak perempuan berusia 12 tahun itu yang tinggal bersama keluarganya di tingkat 15, mahu ke rumah rakan di tingkat 14 apartmen sama.

  Apabila tiba di tingkat 14, ketika hendak melangkah keluar, pintu lif terbabit dikatakan tertutup menyebabkan mangsa terjatuh sebelum kedua-dua kaki tersepit.

  Mangsa yang bersendirian ketika itu menjerit meminta tolong, sebelum orang awam yang menyedari kejadian itu bergegas menghubungi bantuan bomba.

  Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya yang menerima panggilan pada jam 8.15 malam itu, mengerahkan tujuh pegawai termasuk anggota dari Balai Bomba Kajang ke lokasi kejadian.

   "Anggota kita yang tiba di lokasi dalam masa 10 minit, berhasil membuka pintu lif berkenaan sebelum mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit.

  "Mangsa yang cedera pada kaki kiri dan kepala, dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut," katanya selepas operasi itu, malam tadi.

Berita Harian X