Sabtu, 28 November 2015 | 12:05am
AHMAD Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie. - Foto Zunnur Al Shafiq
AWIE menerima satu tawaran pada satu-satu masa supaya dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap amanah yang diberikan kepadanya. - Foto Khairunisah Lokman
AWIE beraksi pada Jelajah Konsert Menakluk Kosmos di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Awie fobia rapat dengan perempuan


BERDEPAN dengan kemelut rumah tangga dan kegagalan dalam dua perkahwinan sebelum ini sedikit pun tidak membuatkan lelaki ini fobia untuk berkahwin lagi.

Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 47, menjelaskan beliau tidak serik untuk berkahwin, namun fobia untuk mengenali wanita.

Beliau enggan sejarah hitam yang dilaluinya berulang kembali dan memberi impak negatif terhadap dirinya.

Vokalis Wings itu menyatakan beliau mahu lebih berhati-hati mengenali wanita yang bakal menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya.

Tambah Awie, kontroversi berhubung kisah rumah tangganya bersama Rozana adalah perkara paling sukar yang pernah dihadapinya.

"Sebagai seorang lelaki normal, mana mungkin saya serik untuk berkahwin kerana setiap manusia ditakdirkan untuk hidup berteman.

"Namun, saya tidak menafikan yang ada rasa fobia untuk mengenali wanita gara-gara perkara yang dilalui oleh saya ketika ini.


BIDANG pengacaraan bukan perkara baharu buat Awie. - Foto Shiraz Ali

"Saya berhadapan dengan ujian paling berat dalam fasa hidup saya. Bukan mudah untuk melalui perkara ini, namun saya memilih untuk menempuhnya dengan tenang dan sabar," katanya.

Awie mengakui kemelut yang dihadapinya ketika ini memberi impak kepadanya. Namun, apa yang paling dikesali adalah kesannya kepada anak-anak.

Harapannya, segala pertikaian dan masalah itu dapat ditamatkan secepat mungkin. Paling penting, kata Awie, beliau berharap tidak lagi ditemukan dengan insan sebegitu.

"Saya memohon supaya dipertemukan dengan orang yang jujur untuk hidup bersama saya dan dapat menerima semua anak-anak saya.

"Wanita itu bukan hanya bergelar isteri tetapi ibu kepada semua anak-anak, yang memainkan peranan penting dalam hidup saya," katanya.

Terdahulu kemelut yang melanda pasangan ini menjadi bualan hangat apabila Awie didakwa memukul Rozana di dalam sebuah bank.

Awie dikatakan berang apabila melihat jumlah baki wang simpanan mereka dan Rozana tidak dapat memberikan alasan kukuh bagi membela dirinya.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iatu iaitu Putra Ahmad Merrah, 9; Putra Ahmad Rezzki, 8 dan Puteri Qasseh Antasha, 6.


AWIE menjelaskan beliau tidak serik untuk berkahwin, namun fobia untuk mengenali wanita. - Foto Yazit Razali

Awie juga mempunyai dua anak lagi hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16 dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Sementara itu, penampilan penyanyi berimej rock itu sebagai pengacara Anugerah Skrin pada 8 November lalu turut mengundang pelbagai persepsi.

Bagi Awie, tidak salah baginya mencuba dalam bidang baharu. Beliau ingin bereksperimental dengan bakat yang ada.

"Benar, saya memang tamak dan ingin mengumpul duit sebanyak mungkin demi anak-anak. Saya ingin mencari semula wang yang sudah dibelanjakan tanpa pengetahuan saya.

"Rasanya tidak salah untuk saya menceburi cabang seni lain selain bidang nyanyian. Oleh itu, darah seni yang mengalir dalam diri saya tidak hanya terhad sebagai penyanyi semata-mata tetapi saya juga mencuba nasib sebagai pelakon dan pengacara pula," katanya.


AWIE mahu lebih berhati-hati mengenali wanita yang bakal menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya. - Foto Owee Ah Chun

Peluang yang diberikan oleh pihak TV3 itu dianggap sebagai peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan begitu saja.

Bidang pengacaraan bukan perkara baharu buat Awie. Sebelum ini, dia biasa mengacarakan program bual bicara Tunggu Sekejap.

Bezanya kali ini, dia perlu menunaikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi itu secara langsung.

"Tidak timbul isu saya gagal memberikan yang terbaik kerana tamak ingin melakukan pelbagai benda.

"Saya menerima satu tawaran pada satu-satu masa supaya dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap amanah yang diberikan kepada saya," jelasnya.

99 dibaca
Berita Harian X