Jumaat, 27 November 2015 | 9:05pm
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa lemas di lombong Ladang Bandi, Air Putih. - Foto Shamsudin Husin

Buruh ladang lemas ketika memukat ikan

CHUKAI: Hasrat seorang buruh ladang menjadikan ikan darat sebagai hidangan tengah hari tidak kesampaian apabila dia lemas dalam sebuah lombong lama di Ladang Bandi, Air Putih, di sini, ketika memukat ikan bersama enam rakannya di situ, hari ini.   

Yahya Junoh, 37, tiba di lombong lama itu bersama rakannya kira-kira jam 10 pagi, sebelum turun ke dalam lombong itu bersama tiga rakan lain untuk mula memukat ikan.   

Seorang rakan mangsa, Amirul Aziz, 25, berkata selepas beberapa ketika mangsa berada di tengah lombong, dia ternampak tangan mangsa terkapai-kapai lalu segera terjun ke lombong untuk membantu menyelamatkan rakannya itu.   

"Belum sempat saya menariknya, saya sendiri turut ditarik arus air lalu terpaksa berenang ke tepi menyelamatkan diri. Kami tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya," katanya. 

Beliau berkata, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berasal Kampung Baru, Pak Ba, Sungai Tong, Setiu sebelum kejadian beria-ia hendak memukat ikan sebagai lauk hidangan tengah hari dia bersama keluarganya.   

Katanya, keadaan cuaca yang sudah mula hujan sebelum kejadian menyebabkan paras air lombong itu agak dalam. 

"Selepas beberapa minit gagal mencari dan mengesan mangsa, saya ke Balai Polis Air Putih membuat laporan dan usaha mencari mangsa diteruskan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru," katanya.   

Sementara itu, Penolong Pegawai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru, Hasbullah Halipah berkata, usaha mencari berjaya menemui mangsa empat jam kemudian, kira-kira 12 meter dari tempat dia dilaporkan lemas. 

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.40 petang dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Berita Harian X