Jumaat, 27 November 2015 | 7:37am

Kepentingan berbahasa kebangsaan

Apabila Paus Francis melawat Baitulmaqdis pada 2014, beliau berucap kepada orang Kristian, Islam dan Yahudi bukan dalam bahasa Latin, Arab atau Ibrani. Beliau berucap dalam bahasa Inggeris yang dianggap oleh semua sebagai wajar. ASEAN mengguna pakai bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja.

Sebanyak 98 peratus ahli fizik dan 83 peratus ahli kimia Jerman menulis rencana dan buku ilmiah dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi Bank Pusat Eropah beribu pejabat di Frankfurt. Majoriti rakyat berkulit hitam Afrika Selatan mahu supaya anak mereka mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.

Selepas perpecahan Soviet Union, kebanyakan bekas republiknya, terutama yang terletak ke barat dari Moscow mula 'membenci' bahasa Russia dan 'mencintai' bahasa Inggeris. Kemunculan internet juga menarik minat kepada bahasa Inggeris di China.

Beijing menandatangani perjanjian dengan British Council untuk melatih 400,000 guru bahasa Inggeris tempatan yang akan mengajar bahasa Inggeris kepada jutaan muridnya. Apa yang menarik, daripada semua pusat British Council yang ada di dunia ini, China memilih yang ada di Belgium.

Menjelaskan mengapa mereka lebih suka pusat di Belgium dan bukan di Britain sendiri, kakitangan Kerajaan China menyatakan, kelebihan orang Belgium ialah bahasa Inggeris untuk mereka juga bahasa asing, kerana itu mereka boleh menjelaskan hal kesukaran bahasa secara lebih sempurna daripada penutur asli.

Bahasa Inggeris sebagai bahasa global

Kewujudan bahasa Inggeris sebagai bahasa global nampaknya sudah nyata. Namun, pakar berpendapat proses globalisasi bahasa Inggeris bukan sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Penyebaran bahasa pada masa akan datang boleh dipengaruhi oleh proses demografi; kemungkinan wujudnya persatuan politik dan perniagaan baharu di Asia, Asia Barat dan Amerika Latin di mana Amerika Syarikat dan negara lain berbahasa Inggeris tidak akan ikut serta ketidakpuasan terhadap nilai Amerika yang semakin ketara di kawasan yang disebut itu.

Di negara berbahasa Inggeris yang terbesar, iaitu Amerika Syarikat, jumlah penduduk tidak berbahasa Inggeris terus meningkat. Sepuluh tahun lalu, satu pertujuh penduduk negara itu tidak berbahasa Inggeris. Jumlah imigran tetap meningkat. Di California, Florida serta negeri Barat Daya, penduduk berbahasa bukan Inggeris sudah melampaui penduduk berbahasa Inggeris. Di New York, 30 peratus warganya bercakap bahasa Sepanyol. Saluran televisyen yang menyiarkan program berbahasa Sepanyol mempunyai jumlah penonton lebih besar berbanding saluran televisyen dengan program berbahasa Inggeris. Jumlah imigran dari China, Korea, Vietnam juga terus meningkat. Kebanyakan mereka bercakap sesama keluarga dalam bahasa ibunda.

Pada akhir 1990-an, ada usaha untuk menerima pindaan kepada perlembagaan Amerika supaya mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan supaya jabatan kerajaan dilarang berurusan dalam bahasa lain. Tetapi usaha itu gagal dan di daerah di mana ramai imigran tinggal, kakitangan kerajaan terpaksa belajar bahasa Sepanyol atau bahasa Mandarin.

Wujudnya internet biasanya disebut sebagai satu bukti bahawa bahasa Inggeris semakin menjadi bahasa global. Kira-kira 80 peratus sumber internet dalam bahasa Inggeris. Tetapi jumlah pengguna internet yang tidak bercakap bahasa Inggeris bertambah lebih cepat.

Bahasa Inggeris untuk pekerjaan.

Soal selidik Euro Marketing Associates mendapati, 44 peratus pengguna internet menggunakan bahasa Inggeris hanya untuk pekerjaan. Antara mereka satu perempat ialah pengguna yang berbahasa Sepanyol, 13 peratus berbahasa Jepun atau bahasa Asia lain.

Menurut taksiran pakar, jumlah laman web dalam bahasa lain akan mendahului jumlah laman web berbahasa Inggeris dalam masa terdekat.

Ini ditentukan oleh hukum pasaran: kebanyakan bakal pengguna internet akan menggunakannya hanya apabila maklumat akan dipaparkan dalam bahasa ibunda mereka. Misalnya, pada 1990-an di Moscow sebaik sahaja muncul program komputer berbahasa Russia yang boleh difahami oleh semua, Russia menjadi pasaran teknologi komputer yang tumbuh begitu cepat.

Kajian mengenai teknologi global lain, misalnya televisyen berkomunikasi satelit mengukuhkan trend umum: kebanyakan warga Eropah mula mengikuti berita dunia melalui jaringan televisyen global (CNN, ABC, MSNBC) hanya apabila ia mula dihebahkan dalam bahasa ibunda mereka.

Jadi, pengetahuan bahasa Inggeris penting tetapi ada batasan dalam penggunaannya dan tidak boleh ganti bahasa ibunda yang lebih berbentuk keperibadian dan pembawa budaya sebuah bangsa. Kita guna bahasa ibunda seperti menghirup udara dengan tidak memerhatikannya sedangkan ia patut dihormati, dipelihara dan dicintai.

Akhirnya dalam sikap kita terhadap bahasa kebangsaan (atau negara) tercermin sikap patriotik: penggunaan dalam semua bidang, pemeliharaan kemurniannya membantu mengukuh persatuan negara.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya

24 dibaca
Berita Harian X