Khamis, 26 November 2015 | 3:56pm
YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (Kehormat) kepada Konsulat Jeneral Sudan, Mahmoud Abdelrahim Ahmed Elhaj pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2015 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Agong kurnia darjah kebesaran kepada 130 penerima

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara kepada Pengerusi Puspanita Negeri Pulau Pinang, Datin Seri Hamidah Mat Daud pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2015 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 kepada 130 penerima.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disambut pada 6 Jun lalu.

Mendahului senarai penerima darjah pada istiadat pengurniaan kali ini ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Tan Sri Dr Moeldoko yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) Kehormat.

Turut menerima darjah PSM Kehormat ialah bekas Setiausaha Agung ASEAN Tan Sri Dr Surin Pitsuwan.

Pengurniaan darjah berkenaan membawa gelaran Tan Sri.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 10 penerima antaranya Pengerusi Puspanita Negeri Pulau Pinang Datin Seri Hamidah Mat Daud, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Jaminan Kualiti Jabatan Kimia Malaysia Bakhtiar Kassim, Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Maizan Ismail, Setiausaha Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri Nadiah Ahmad Tajuddin dan Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan Bahagian Pinjaman Perumahan Sendeli Sebli.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan Darjah Kesatria Setia Diraja (KSD) kepada tiga penerima daripada Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu Lt Kolonel Ahmad Juniar Abdul Wahab, Mejar Alfan Naem Katiman dan Kapten Ilham Roshandy Azwir Zulfian.

Seri Paduka turut mengurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (Kehormat) kepada Konsulat General Negara Sudan Mahmoud Abdelrahim Ahmed Elhaj dan mengurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 22 penerima.

Sementara itu, 36 individu menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

- BERNAMA

Berita Harian X