Khamis, 26 November 2015 | 7:26am

Vape bukan alat berhenti merokok

Video seorang wanita memberi kanak-kanak lelaki dan perempuan menghisap vape diakhiri dengan wajahnya tersenyum riang pasti mendatangkan kemarahan kepada sesiapa yang menontonnya termasuklah penulis.

Mungkin ada yang berpendapat ia kes terpencil, tetapi persoalannya adakah itu senario yang ingin kita lihat menjadikan menghisap vape sebagai budaya dengan menerapkannya dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun belum ada kajian mendalam dilakukan mengenai kesan menghisap vape, namun berdasarkan daripada bahan digunakan seperti kandungan nikotin dalam vape yang termasuk dalam kategori e-rokok itu, maka kesan sama dialami perokok tidak mustahil berlaku kepada penghisap vape.

Kesan jangka panjang nikotin termasuk ketagihan, meningkatkan risiko penyakit jantung dan penurunan tahap insulin, kanser dan penuaan pramatang. Bahaya nikotin hingga boleh membawa kepada kematian dalam banyak kes.

Sempena sambutan Hari COPD Sedunia 2015 pada 18 November, penjelasan mengenai perlunya mencegah penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) anjuran Yayasan Paru-Paru Malaysia (LFM), diadakan di KPJ Damansara, baru-baru ini.

Turut dibincangkan ialah isu vape yang sedang hangat diperkatakan apabila ada berpandangan e-rokok sebagai alat untuk mengurangkan bahaya, manakala pihak lain bimbang dengan kemungkinan ia boleh merosakkan kesihatan.

Bukan alat untuk berhenti merokok

Pengerusi LFM, Datuk Dr Zainudin Md Zin, berkata kajian saintifik yang dijalankan setakat ini tidak menunjukkan rokok elektronik boleh menjadi alat untuk berhenti merokok ditambah kurang bukti menyokong dari segi keselamatan disebabkan tiada kawalan kualiti penghasilan cecair vape.

"Kurang data yang meyakinkan dan kebimbangan mengenai penjagaan kesihatan, doktor tidak boleh menasihatkan pesakit menggunakan rokok elektronik untuk membantu mereka berhenti merokok. Pakar perubatan terikat dengan etika dan perlu memastikan nasihat diberi berdasarkan fakta yang tepat," katanya.

Katanya, LFM juga sedar hakikat peningkatan lebih ramai yang menghisap vape kerana terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini dan perkembangan itu lebih membimbangkan kerana kajian di Amerika Syarikat menunjukkan belia yang menghisap rokok elektronik cenderung menghisap rokok.

Beliau berkata, LFM berpendapat kajian lanjut perlu diadakan segera untuk menentukan peranan rokok elektronik dari sudut perubatan dalam merawat penggunaan tembakau dan kerajaan perlu melaksanakan polisi yang melindungi pengguna daripada produk yang tidak terkawal.

Sebelum itu, beliau berkongsi fakta COPD adalah penyebab keempat kematian seluruh dunia dan mengakibatkan tiga juta kematian setiap tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan COPD akan menjadi penyebab kematian ketiga di dunia menjelang 2030.

Di Malaysia, kira-kira 4.5 peratus dewasa berumur 30 tahun ke atas menderita penyakit COPD. Malangnya, tiada pemulihan untuk penyakit yang merosakkan tisu paru-paru dan kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka menghidap penyakit itu.

Pakar Perunding Pernafasan Hospital Pantai, Dr Helmy Haja Mydin, berkata kebimbangan mengenai kesan vape bukan hanya kepada faktor kesihatan, tetapi juga pendedahan terutama dalam kalangan kanak-kanak kepada budaya menghisap vape.

Terdedah keracunan nikotin

Katanya, kanak-kanak juga terdedah kepada keracunan nikotin daripada persekitaran apabila mereka dikelilingi penghisap vape dan di Amerika Syarikat daripada 3,000 kes, satu kematian disebabkan keracunan nikotin.

"Benda asing apabila kita sedut lama kelamaan akan mendatangkan penyakit OCPD. Tetapi sekarang kita tidak tahu kesannya sehingga dibuktikan ia tidak selamat. Bagi yang hisap vape mungkin akan kata tunjukkan bukti ia membahayakan, baru kami berhenti," katanya.

Beliau berkata, kajian mengenai kesan vape rumit dan memakan masa kerana memerlukan metodologi yang betul selain kepelbagaian cecair yang mempunyai perisa dan kaedah penghasilan berbeza serta cara penggunaan bergantung kepada individu.

Sementara itu, Pemegang Amanah LFM, Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, melahirkan rasa kecewa kerana Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang diwujudkan bagi membantu perokok mendapat rawatan bagi menghentikan ketagihan merokok tidak dimanfaatkan.

Disebabkan itu katanya, banyak KBM terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan, tetapi difahamkan kira-kira 400 KBM yang masih aktif beroperasi di seluruh negara.

"Perokok patut mendapatkan bantuan klinik berhenti merokok bagi mengakhiri tabiat buruk itu, malangnya walaupun perkhidmatan diberi secara percuma, ia tidak mendapat sambutan. Mereka cuba berhenti sendiri dengan menghisap vape," katanya.

Kempen tak beri kesan

Menjawab pertanyaan mengenai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesan negatif rokok, Dr Aziah dengan nada kecewa mengatakan pelbagai usaha termasuk kempen, ceramah serta penyebaran maklumat dianjurkan, tetapi tidak berkesan.

Malah katanya, usaha murni itu ada kala diperkecilkan kerana masyarakat tidak nampak bahaya penyakit COPD dan mengandaikan keadaan itu tidak akan berlaku kepada mereka.

"Saya pernah bagi ceramah di sekolah dan terkejut dengan komen bahawa datuk, pakcik dan ayah mereka hisap rokok, tetapi tidak ada apa-apa pun. Hakikatnya, COPD membunuh dan jumlah penghidap akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata, isunya bukan mengenai perokok atau penghisap vape, tetapi mencari cara untuk mengelak perkara yang mendedahkan masyarakat kepada penyakit COPD serta mencapai objektif menghalang peningkatan jumlah perokok baharu.

78 dibaca
Berita Harian X