Khamis, 26 November 2015 | 12:07am

Sukarelawan cilik


BAGI anak muda berusia dalam lingkungan belasan tahun, aktiviti melepak bersama teman dan bersuka ria di luar menjadi pilihan bagi mengisi waktu lapang.

Jarang kita mendengar mereka mempunyai minat untuk melakukan aktiviti amal atau kerja sosial seperti membantu gelandangan mahupun insan lain yang kurang bernasib baik.

Namun, berbeza bagi dua beradik ini iaitu Natania Sophia Azizul Azmi, 12, dan Nasya Soraya Azizul Azmi, 9, mereka memilih untuk berkhidmat sebagai sukarelawan dan menjadikan ia rutin setiap minggu.


NASYA Soraya Azizul Azmi (kanan) bersama adiknya, Natania Sophia Azizul Azmi. - Foto Nik Hariff Hassan

Seawal usia lapan dan lima tahun, adik beradik ini didedahkan kepada aktiviti amal. Ibu bapa mereka yang enggan dikenali sering turun padang untuk membantu gelandangan.

Pada mulanya, kanak-kanak ini menurutkan aktiviti yang dilakukan kedua ibu bapa mereka, namun lama kelamaan mereka seronok melakukannya. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. 

Justeru, pada setiap Jumaat sejak beberapa tahun lalu, kanak-kanak ini akan ke ibu kota untuk bertemu dengan gelandangan bukan saja untuk membantu tetapi menyelami kehidupan mereka yang sering dipandang negatif oleh masyarakat.

Tinggal kesan mendalam


NASYA Soraya dan Natania Sophia di ibu kota untuk membantu gelandangan.

Natania Sophia berkata, pengalaman pertama melihat golongan ini tinggal di tempat gelap dan tidur di tepi jalan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan namun ia meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Timbul perasaan kasih kepada golongan ini kerana melihat kemewahan yang mampu diperoleh oleh sesetengah pihak, tetapi mereka tidak bernasib baik malah terpaksa menagih simpati orang ramai.

Jelasnya, perasaan sedih dan sebak tidak mampu dibendung, namun melihat kanak-kanak seusianya ceria bermain di bawah lampu jalan raya menguatkan dirinya untuk terus membantu.

"Melihat mereka membuatkan saya bersyukur dengan apa yang saya peroleh. Jika dibandingkan dengan mereka, bukan saja keadaan dan kisah mereka menyedihkan tetapi anak kecil ini adalah mangsa keadaan.

"Kebanyakan anak jalanan ini mempunyai HIV yang berpunca daripada ibu bapa mereka sendiri. 

"Pada mulanya saya dan adik tidak mengerti apa itu mangsa HIV positif, namun selepas kami membacanya di internet dan penerangan daripada orang dewasa, kami kini memahaminya," katanya.

Tiada istilah takut

pqc


NASYA Soraya dan Natania Sophia mengagihkan makanan kepada gelandangan.

Menerusi pengalaman dikutip sepanjang mendekatkan diri dengan golongan gelandangan, banyak kisah sedih duka yang dapat dikongsi kedua-dua beradik ini. Malah, cerita yang dilalui golongan itu juga banyak memberi keinsafan dan pengajaran kepada mereka.    

"Kebanyakan daripada mereka ini mempunyai pekerjaan tetapi tidak mampu untuk memiliki rumah, mahupun untuk membeli makanan harian. Gaji yang diperoleh itu, terpaksa dibahagikan untuk dihantar ke kampung halaman, justeru baki yang ada tidak mencukupi untuk menyewa rumah di bandar.

"Antara kisah menyedihkan ada di antara kanak-kanak itu dijual oleh ibu bapa mereka atau pun membesar menjadi pelacur. Kisah ini cukup menyedihkan, tetapi kami bersama pasukan sukarelawan cuba untuk membantu mereka dan kini kanak-kanak HIV di kawasan itu sudah ditempatkan di sebuah rumah," katanya.

Sementara itu, bagi Nasya Soraya, tiada istilah geli atau takut untuk mendekati mangsa HIV, kerana beliau mengenali mereka sejak kecil dan sudah menjadi sebahagian daripada keluarga. Justeru, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana beranggapan mereka juga manusia biasa dan mempunyai hati yang baik.


NASYA Soraya dan Natania Sophia tidak kekok berdepan dengan gelandangan.

"Hubungan kami dengan mereka bukan sekadar perjumpaan singkat pada malam Jumaat. Memandangkan kami kerap turun ke sana, kami mengenali antara satu sama lain. 

"Pelbagai aktiviti yang kami lakukan bersama seperti menonton wayang, main kasut roda, mandi air terjun serta kami turut meraikan ulang tahun kelahiran bersama. Ibu tidak pernah melupakan mereka. 

"Ibu sering pesan supaya sentiasa beringat mengenai golongan yang kurang bernasib baik ini. Jadi kami suka berkongsi keraiaan bersama-sama," katanya yang belajar di sekolah antarabangsa, Kota Damansara.

Penderitaan pelarian beri kesan mendalam


NASYA Soraya dan Natania Sophia pernah berkhidmat sebagai sukarelawan di kem pelarian masyarakat Syria di Jordan.

Kedua beradik ini tidak berhenti melakukan khidmat sukarelawan di Malaysia saja, sebaliknya turut dibawa oleh kedua ibu bapa mereka ke kem pelarian masyarakat Syria di Jordon. 

Percutian keluarga ke Jordan selama seminggu dimanfaatkan dengan mendekati pelarian di kem terbabit.

Natania Sophia berkata, ia pengalaman yang cukup berharga dan tidak mungkin beliau lupakan sungguhpun hanya berada di kawasan itu pada satu malam.

"Kami melawat kawasan itu pada musim salji. Cuaca cukup sejuk, walaupun saya mengenakan lima lapisan baju ia masih tidak cukup untuk memanaskan badan. Hidung saya hampir berdarah, kulit muka mula merekah walaupun berada di kawasan itu hanya untuk beberapa jam. Bayangkan, apa yang perlu ditempuh oleh pelarian ini.

"Di sana kami mempunyai seorang penterjemah. Pelbagai kisah yang kami dengar daripadanya. Kami bertemu dengan seorang wanita yang dahulunya seorang akauntan. Beliau memiliki rumah besar dan mempunyai wang mencukupi menyara seisi keluarga, termasuk anaknya yang ramai.

"Nasib mereka berubah apabila sekumpulan askar menyerbu rumah mereka dan menghalaunya keluar. Beliau sekeluarga hilang tempat berteduh dan terpaksa melarikan diri daripada kawasan itu kerana sudah dikuasai pemberontak. Sehingga kini, mereka hilang tempat bergantung dan terpaksa bertahan demi kelangsungan hidup.

"Pelbagai situasi yang kami dengar seperti ibu bapa menjual dan mengahwini anaknya yang kecil dengan lelaki tua demi wang, kanak-kanak jatuh sakit dan hampir mati kerana ketiadaan ubat," katanya.

Ingin terus bantu


SUKARELAWAN Malaysia bergambar bersama kanak-kanak di kem pelarian masyarakat Syria di Jordan.

Mereka sekeluarga juga sempat melawat sekolah kecil yang dibina untuk kanak-kanak pelarian ini. Kata Nasya Soraya, kisah mereka sangat menyedihkan.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka mampu untuk teruskan hidup lebih-lebih lagi dengan cuaca sejuk seperti ini. Perut mereka lapar, tiada duit untuk makan mahupun membeli pakaian dan selimut bagi menghadapi cuaca itu. Keadaan mereka juga sudah kotor kerana tiada tempat untuk mereka membersihkan diri.

"Kami cuba bantu mereka seperti memberi ubat dan memberi pakaian. Hidup mereka masih seperti itu apabila kami meninggalkan kem pelarian itu, apa yang kami mampu lakukan adalah berdoa supaya keadaan mereka menjadi lebih baik. 

"Jika ada kesempatan saya dan keluarga mahu kembali ke Jordan untuk terus membantu mereka khususnya dalam pendidikan, kerana ia mampu mengubah hidup pelarian ini," katanya.

Cita-cita dan impian dua kanak-kanak ini juga cukup besar. Kelak apabila sudah berjaya, mereka berhasrat akan terus berkhidmat kepada masyarakat dan tidak mungkin melupakan didikan kedua ibu bapanya untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

Malah, Natania Sophia bercita-cita mahu membuka sekolah kerana beranggapan, pendidikan yang kanak-kanak berkenaan terima tidak mencukupi dan peluang untuk mereka juga terhad kerana tiada wang.

"Saya harap cita-cita ini akan tercapai supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik dan tiada lagi kemiskinan mahupun mereka yang terbiar dijalanan," katanya.

Berita Harian X