Rabu, 6 November 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Pesakit mental perlu didekati, beri sokongan

Tanggal 10 Oktober setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia, dengan Oktober menjadi bulan mempromosikan kesihatan mental dalam memupuk kesedaran dan sensitiviti masyarakat mengenai kepentingan kesejahteraan mental.

Tahun ini, tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia ialah ‘Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan’ yang difokuskan kepada masalah bunuh diri yang semakin menunjukkan trend peningkatan.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mencatatkan 10 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun terbabit cubaan bunuh diri. Ia satu peningkatan tidak dijangkakan berbanding 2012 yang hanya mencatat 7.9 peratus.

Apakah angka ini belum mampu menggambarkan keparahan masyarakat kita dalam ilmu kejiwaan? Adakah masalah ini berlaku disebabkan sikap tidak ambil peduli masyarakat dengan masalah kesihatan mental?

Kemungkinan ada khalayak yang masih tidak mempercayai bahawa tragedi bunuh diri wujud dan berlaku mutakhir ini kerana masih janggal untuk diperkatakan secara terbuka.

Walhal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan antara 10 penyebab utama kematian dunia ialah bunuh diri dan ia menjadi faktor kedua kematian bagi golongan berusia 15 hingga 29 tahun. Lingkungan umur itu dikategorikan masih muda dalam mengenali erti kehidupan, tetapi diselubungi pengurusan emosi yang tidak terkawal dan memudaratkan kehidupan.

Isu kesihatan mental berterusan menjadi taboo dalam masyarakat Malaysia khasnya dan jarang dibicarakan seperti penyakit fizikal lain seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

Penyakit mental memberi konotasi negatif sehingga membawa kepada stigma masyarakat yang menyebabkan masalah ini tidak dapat ditangani dari awal serta tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Keadaan ini menyebabkan gangguan mental menjadi lebih parah sehingga boleh menamatkan nyawa seseorang pesakit kerana mereka berasakan kehidupan seperti tidak berguna lagi. Disebabkan itu, cubaan membunuh diri menjadi pilihan di samping didorong tekanan dan kemurungan serius.

Disebabkan stigma itu, individu akan rasa terancam dari sudut sosial dan berlaku diskriminasi masyarakat apabila disahkan mengalami masalah mental dan menerima rawatan penyakit mental.

Oleh itu, stigma ini perlu segera dihapuskan daripada bermaharajalela dalam masyarakat agar tidak memburukkan lagi keadaan. Pesakit yang diuji dengan gangguan mental tidak boleh disisihkan dalam masyarakat, malah perlu didekati, difahami dan diberi sokongan.

Sambutan Hari Kesihatan Mental bukan sekadar satu bentuk keraian yang dipenuhi program, tetapi tujuannya perlu lebih holistik dan dekat di jiwa masyarakat.

Manfaat diperoleh bukan hanya tertakluk pada hari yang diraikan, tetapi hendaklah berterusan diingat dan dipasak kefahaman semua golongan masyarakat untuk membudayakan gaya hidup sihat fizikal dan mental, serta peka terhadap gangguan kesihatan mental yang berlaku khususnya individu yang berada dalam kitaran hidup seharian.

Masyarakat perlu ditingkatkan literasi kesihatan mental dan diberi kesedaran mengenai keparahan masalah ini.

Literasi kesihatan mental adalah pengetahuan dan kepercayaan mengenai gangguan atau penyakit mental yang akan membantu seseorang untuk mengenal pasti, mengurus dan mencegah sekiranya berlaku gangguan. Keupayaan pengurusan ini mampu mengawal kesan gangguan mental lebih serius dan berkecenderungan untuk membunuh diri.

Tekanan perasaan, kemurungan, harapan yang terlalu tinggi, masalah penyalahgunaan dadah dan tragedi serta krisis hidup antara punca cubaan bunuh diri yang membabitkan anak remaja dan golongan dewasa bermasalah.

Selain itu, penggunaan gajet dan media sosial juga menjurus kepada risiko ketidakseimbangan mental. Ramai remaja terbabit dan mendapat kesan psikologi daripada ketagihan gajet dan media sosial. Semua faktor ini memburukkan lagi keadaan jika tidak ditangani secara tuntas dari awal.

Oleh itu, amat penting masalah dalam kesihatan mental tidak dipandang sepi. Perkhidmatan saringan dan rawatan kesihatan mental disediakan pihak kerajaan perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan mental dan kualiti kehidupan lebih baik.

Pendekatan dan usaha mempromosi isu kesihatan mental perlu mengakar ke semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja. Langkah ini mampu membantu golongan berisiko menangani gangguan penyakit mental lebih awal, seterusnya tidak mencetuskan keinginan untuk membunuh diri.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X