Ahad, 3 November 2019 | 10:00am
ANTARA 6 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Setiakawan atau harapan pengundi

DALAM masa dua minggu ini senario politik tanah air pasti terarah ke Selatan apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, mengambil tempat.

Ia dianggap menarik kerana Tanjung Piai adalah PRK kesembilan dalam tempoh 15 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tahun lalu dan mungkin juga PRK penutup ‘tirai’ untuk tahun ini.

Bertambah menarik, bagaimana parti yang bertanding mencongak strategi dan impian untuk menang. Tentunya, faktor pemilihan calon menjadi keutamaan.

Bagi penyandang kerusi Tanjung Piai, Pakatan Harapan (PH) tiada masalah apabila menamakan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Karmaine Sardini, anak jati kawasan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai. Langsung tidak kedengaran ada suara di belakang yang mempersoalkan pemilihannya.

Namun, berbeza bagi Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Belumpun namanya diumumkan, riuh rendah kedengaran permintaan akar umbi UMNO agar calon parti itu wajar diberi tempat.

Ini berdasarkan pendapat mereka bahawa di Tanjung Piai, demografi seimbang antara pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan jumlah sekitar 52 peratus Melayu dan 46 peratus Cina boleh membawa kelebihan kepada UMNO.

Walaupun jumlah pengundi Melayu di sana tinggi, kerusi itu secara tradisinya diperuntukkan untuk MCA sejak PRU-11 selepas persempadanan semula Parlimen pada 2003 yang memisahkan Tanjung Piai daripada Parlimen Pontian sebelumnya.

Jelaslah BN tidak berani untuk menongkah formula atau rejim setiakawannya dengan MCA atau MIC, biarpun kedua-duanya dilihat semakin tidak signifikan dalam gabungan itu.

Bagi PH, ketika era Pakatan Rakyat (PR) pun kawasan ini sudah tiga kali ditandingi DAP (dua daripada tiga PRU itu DAP meletakkan orang Melayu sebagai calonnya) dan tewas semuanya, sehingga kerusi itu dirampas oleh PH menerusi BERSATU pada PRU-14.

Tambahan pula, dengan jumlah besar pengundi Melayu di situ, maka calon Melayu yang paling sesuai bertanding. Mungkin di sini kelebihan pada PH nanti.

Ramai yang hairan dengan langkah BN kerana bagi mereka meletakkan calon Melayu dengan mengorbankan tradisi setiakawan sedia ada untuk menang pilihan raya mungkin satu peluang untuk direbut. Ia sebenarnya sudah pun berlaku ketika PRK Cameron Highlands apabila BN mengorbankan MIC bagi memastikan kerusi itu kekal milik parti.

Timbul persoalan di sebalik sejarah dan latar belakang demografi sebegitu, apakah pakatan baharu pembangkang UMNO-PAS tidak berani menggunakan formula sama di Tanjung Piai? Adakah PRK selepas ini, formula setiakawan ini masih membelenggu UMNO?

Jelaslah, UMNO tidak sanggup terus mengetepikan begitu sahaja MCA yang ketika ini lemah, daripada setiap perancangan dan perbincangan politik UMNO-PAS.

Jelas MCA masih diperlukan sebagai rakan politik UMNO-PAS untuk meraih sokongan masyarakat Cina apabila kehilangan parti GERAKAN yang keluar daripada BN selepas PRU-14. Cuma setakat ini, MCA sudah diberi peluang bertanding dan kalah teruk pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Adalah amat sukar bagi mana-mana parti politik untuk menubuhkan kerajaan tanpa ada sokongan dan undi daripada kaum lain.

Justeru, walau apapun percaturan, analogi dan formula memilih calon, pastinya siapa pun memenangi PRK Tanjung Piai, ia mampu menterjemahkan harapan pengundi, memperjuang suara dan permasalahan, sekali gus menjadi wakil rakyat efektif.

Untuk 14 hari berkempen ini serta enam calon sudah menawarkan diri, janganlah ada kempen sentimen perkauman, menikam peribadi calon atau politik menjijikkan sehingga pengundi tidak mampu menjalankan hak mereka dalam maksud sebenar amalan demokrasi.

Berita Harian X