Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:20pm

UiTM lahir graduan dinamik, progresif

Setiap tahun, Universiti Teknologi MARA (UiTM) masih unggul menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi yang berjaya melahirkan lebih 40,000 graduan dalam pelbagai bidang ilmu. Pencapaian ini adalah satu jumlah besar yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana universiti awam tempatan yang lain.

Kini, UiTM sudah melahirkan seramai 815,353 graduan yang memenuhi pasaran dan profesion pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan mahupun swasta di dalam dan luar negara. Tambahan lagi dengan berlangsungnya penganugerahan kepada 24,914 graduan dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-91 pada 5 Oktober sehingga 7 November lalu di 13 kampus seluruh negara ini, UiTM akan menambah lagi jumlah alumninya.

Ini membuktikan bahawa penubuhan dan kemajuan UiTM adalah antara kejayaan terbesar negara dalam membantu Bumiputera untuk berdikari dan menjadi bangsa yang dinamik, progresif dan responsif.

Pada 16 Oktober nanti, genaplah 63 tahun UiTM berdiri megah sebagai institusi pendidikan tinggi tempatan, dan mencapai usia ke-20 tahun dinaik taraf sebagai sebuah universiti yang diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (yang ketika itu menjadi Perdana Menteri Keempat) pada 1999.

Sejak awal penubuhannya yang hanya mempunyai 50 graduan pada 1964 di bawah Dewan Latehan RIDA, UiTM melalui perkembangan yang amat pesat dalam sektor pendidikan tinggi. Kini, UiTM mempunyai seramai lebih 160,000 pelajar, hampir 18,000 staf, 515 program akademik dan 35 kampus di seluruh negara.

UiTM bukan sahaja berjaya menghasilkan graduan berketerampilan, versatile dan hands-on, tetapi juga mewarnai lanskap industri profesional negara dengan memahat nama besar dan menjadi ikon dalam pelbagai bidang menerusi jawatan serta sumbangan mereka kepada negara. Antaranya, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Saleh Sulong, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Aishah Shaikh Ahmad, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Kamarudin Meranun dan ramai lagi.

Kualiti graduan UiTM yang dihasilkan sangat berkait rapat dengan kualiti kurikulum dan program akademiknya. Kebanyakan program ijazah yang ditawarkan di UiTM mendapat pengiktirafan oleh badan profesional dari dalam dan luar negara.

Ini termasuklah pengiktirafan antarabangsa bagi program seperti seni bina, kejuruteraan mekanikal dan elektrik serta perakaunan. Begitu juga dengan pengiktirafan kementerian, khususnya dalam program undang-undang, kejuruteraan, komunikasi, seni dan reka bentuk serta perhotelan sebagai program niche area.

Untuk memastikan ia terus kekal relevan dan melahirkan graduan dinamik, progresif dan responsif kepada agama, bangsa dan negara, inisiatif UiTM yang seterusnya akan berteraskan kepada i) Pendidikan Perdana, ii) Penyelidikan, iii) Keusahawanan dan iv) Rujukan Industri.

Melalui Pendidikan Perdana, UiTM mengamalkan pendidikan utama yang memberi penekanan kepada bidang ilmu, profesion dan kemahiran individu untuk mempelajari, memahami, menguasai dan mengamalkannya dengan kebijaksanaan.

Seterusnya, ia dapat memberi manfaat dan sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Pendidikan perdana yang menyaksikan bidang penting menjadi tumpuan dunia pada masa kini seperti analisa data, informasi maklumat, teknologi kejuruteraan dan dunia siber diperkenalkan di UiTM. Pada masa sama, bidang sedia ada terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

Sebagai sebuah universiti yang komprehensif, UiTM tidak ketinggalan untuk memastikan keterlibatan secara menyeluruh dalam penyelidikan terutamanya dalam bidang yang memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

UiTM kini giat menggalakkan warga akademiknya melakukan penyelidikan yang dapat menyelesaikan masalah harian komuniti di Malaysia. Ia sebagai pengukur kepada keilmuan warga akademik dalam membantu menterjemah pengetahuan dan kepakaran mereka demi kepentingan negara atau dikomersialkan.

UiTM mendapat penarafan 5 bintang SETARA iaitu pengiktirafan kecemerlangan universiti dan 5 bintang MyRA iaitu pengiktirafan pencapaian aktiviti penyelidikan, yang meletakkan UiTM pada kedudukan ke-7 universiti awam terbaik di Malaysia.

Selain itu, menerusi inisiatif jitu dan kerjasama secara menyeluruh semua pihak, UiTM terus memperkasa reputasi universiti dalam keusahawanan. Majoriti graduan UiTM bukan hanya tertumpu kepada sektor kerajaan sahaja, malah lebih kepada sektor swasta dan menjadi usahawan berjaya.

Lebih membanggakan apabila UiTM dinobat sebagai The Entrepreneurial University of the Year menerusi Malaysia Entrepreneurial University Award (MOHE Entrepreneurial Award) bagi ketiga-tiga tahun penganjuran anugerah itu pada 2012, 2013 dan 2015.

Rujukan Industri pula amat penting kepada UiTM kerana ia mencerminkan bahawa graduan atau produk UiTM sentiasa menjadi rujukan industri yang dicari dan diyakini. Ini sekali gus, menunjukkan bahawa program akademik UiTM mendapat kepercayaan dan pengiktirafan industri.

Sebut sahaja industri media, perundangan, perhotelan, kejuruteraan dan perakaunan, ramai pengamal mereka adalah terdiri daripada alumni UiTM.

Kemuncak kepada semua teras tadi adalah melahirkan graduan yang dinamik dan progresif, iaitu yang sentiasa bermotivasi, berubah dan bergerak memajukan diri untuk mencapai kejayaan yang seterusnya menyumbang kembali kepada agama, bangsa dan negara.

Lebih penting lagi, UiTM komited dan bertanggungjawab untuk menjadikan graduan mempunyai jiwa, jati diri mulia yang disulami dengan nilai murni serta responsif terhadap semua tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X